TASEK GELUGOR: Konsep sistem kitaran ekonomi yang menyingkirkan bahan buangan atau bahan yang tidak digunakan dalam menghasilkan tanaman berkualiti mampu menjadi sumber pendapatan baharu kepada penduduk Seberang Perai khususnya ketika pasca Covid-19 ini.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Rozali Mohamud berkata, menerusi sistem kitaran itu, sisa bahan mentah dari pasar awam yang biasanya dibuang akan dijadikan baja kompos untuk kegunaan pembajaan di Pusat Pendidikan Hijau yang dibangunkan di sini 23 Mac lalu.
Katanya, hasil tuaian itu pula akan dibawa ke pasar awam dan medan selera untuk dijual semula.
“Inilah yang dikatakan sistem kitaran ekonomi iaitu proses kitaran lengkap yang mengurangkan pembaziran serta hasil buangan hampir 100 peratus.
“Di bawah konsep ini juga, hasil buangan tidak akan dibawa ke tapak pelupusan sampah, sebaliknya digunakan semula sekali gus memberikan penjimatan serta kecekapan penggunaan sumber yang lebih menyeluruh,” katanya kepada pemberita, di sini baru-baru ini.
Terdahulu, Rozali meninjau proses menuai hasil sayur-sayuran yang ditanam menggunakan model atau konsep berkenaan di Pusat Pendidikan Hijau itu.
Kira-kira 28 kilogram (kg) sayur berjaya dituai hasil buangan baja organik yang dikumpulkan melalui teknik pengkomposan itu sejak pusat tersebut dibangunkan hampir dua bulan lalu.
Dalam pada itu Rozali berkata, tanaman yang terdapat di situ tidak perlu dijaga sepanjang masa dan pekerja hanya perlu memastikan nutrien dalam kandungan baja kompos tersebut berada dalam keadaan sesuai.
Bagaimanapun katanya, beberapa cabaran perlu ditangani khususnya dalam meyakinkan komuniti setempat berhubung keberkesanan projek terbabit untuk jangka masa panjang.
“Para penduduk yang berminat perlu diberikan latihan dari semasa ke semasa kerana projek ini menggunakan teknologi moden dalam mengusahakan tanaman ini.
“Pada masa sama, kita juga perlu mendapatkan seberapa banyak penyertaan daripada mereka kerana jika projek ini berjaya, bekalan sayur-sayuran perlu dihantar setiap hari kepada para peniaga di pasar awam dan medan selera yang terlibat,” ujar beliau.-UTUSAN ONLINE