ALOR GAJAH: Kerajaan negeri telah meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) membuat kajian jalan empat lorong di kawasan Parlimen Masjid Tanah sebagai penyelesaian jangka panjang kesesakan trafik di kawasan tersebut.
Ketua Menterinya, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, beliau mengambil maklum kesesakan yang berlaku terutama di kawasan pekan apabila tiba musim perayaan.
Jelas beliau, bagaimanapun kesesakan trafik sedikit menurun disebabkan oleh perintah kawalan pergerakan (PKP) susulan pandemik Covid-19 sejak tahun lalu.
“Rancangan menaik taraf infrastruktur jalan sudah lama ada memandangkan tiada satu pun lebuh-lebuh empat lorong dibina melalui Masjid Tanah. Contohnya jika datang dari Alor Gajah, kita ada Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) dan Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) untuk masuk ke Masjid Tanah.
“Oleh itu saya telah meminta pihak berwajib menjalankan kajian kebolehlaksanaan jalan empat lorong bermula dari Lebuh AMJ hingga ke Lubok China,” katanya pada sidang akhbar sempena tinjauan Jualan Myrakyat Melaka Agro Market di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah; Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Zainal Abidin Yang Razali dan Ahli Lembaga Pengarah FAMA, Datuk Ghazale Muhammad.
Ramadan FAMA negeri Melaka bermula 23 April dan berakhir hari ini merupakan aktiviti tahunan FAMA dalam menyantuni petani serta masyarakat setempat melalui Tabung Bencana Pertanian.
Masjid Tanah diumumkan sebagai daerah keempat di Melaka selepas Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin, bermula Januari lalu.
Pemisahan dengan daerah Alor Gajah membolehkan penyaluran peruntukan pembangunan infrastruktur, ekonomi dan sosial yang lebih tinggi.
Tambah Sulaiman, beliau berharap Masjid Tanah akan turut menerima tempias pembangunan projek jajaran baharu lebuh raya pantai yang dicadangkan bermula dari Negeri Sembilan hingga Johor. – UTUSAN ONLINE