SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menangguhkan semua perkhidmatan termasuk majlis akad nikah sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh bermula esok.
JAIS dalam laman sosial Facebook rasminya memaklumkan, orang ramai disaran sentiasa mengikuti laman rasmi www.jais.gov.my atau platform rasmi media sosial untuk sebarang pemakluman rasmi dan terkini.
“Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan, pelanggan boleh e-mel ke [email protected],” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan, kerajaan memutuskan untuk penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau ‘total lockdown’ fasa pertama selama dua minggu bermula 1 Jun ini.
Keputusan itu dibuat dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Mengenai Pengurusan Covid-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurut kenyataan itu, sepanjang tempoh berkenaan, semua sektor tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang akan disenaraikan oleh MKN.