Jaga keselamatan diri ketika bertugas - Utusan Malaysia

Jaga keselamatan diri ketika bertugas

ZUHAIRI Ab. Kadir (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan Daz Bikers kepada Abdullah Kamil Ahmad (dua dari kanan) pada majlis berbuka puasa di Madrasah Tahfiz Kamaliah Litahfizil Banat, Gambang di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) diingatkan supaya menjaga keselamatan diri khususnya sewaktu bertugas dalam operasi sekatan jalan raya yang membabitkan golongan ‘Mat Rempit’.

Penaung Kelab Motosikal Berkuasa Tinggi, Daz Bikers, Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, ini kerana golongan ‘Mat Rempit’ akan bertindak agresif dan sanggup melakukan apa sahaja untuk melepaskan diri mereka dari sekatan jalan raya.

“Mereka (Mat Rempit) tahu mereka melakukan kesalahan, jadi demi menyelamatkan diri mereka tidak fikir keselamatan orang lain, asalnya mereka lolos.

“Atas sebab itu, berlakulah kejadian seperti anggota polis cedera dilanggar ‘Mat Rempit’ dan ada juga orang awam atau kenderaan lain turut dirempuh oleh golongan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa dan penyampaian duit raya Daz Bikers Pahang kepada pelajar tahfiz dan anak-anak yatim di Madrasah Tahfiz Kamaliah Litahfizil Banat, Gambang.

Yang hadir sama, Pengarah madrasah, Abdullah Kamil Ahmad dan barisan ahli Lembaga Pengarah Trizure International Malaysia Sdn. Bhd. selaku penaja program yang mana pada majlis berkenaan Zuhairi turut dilantik sebagai penaung madrasah tersebut.

Kelmarin, seorang anggota polis cedera pada bahagian kaki akibat dirempuh ketika cuba menahan penunggang motosikal yang bertindak meloloskan diri dari sekatan Ops Khas Motosikal di Jalan Tanjung Lumpur di sini.

Anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah berpangkat sarjan berusia 46 tahun itu dilaporkan patah pergelangan kaki dan dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Noor Yusof Ali berkata, penunggang terlibat (suspek) berjaya meloloskan diri dan usaha mengesannya sedang dijalankan.

Mengulas lanjut, Zuhairi berkata, keselamatan diri perlu diutamakan bagi memastikan tiada anggota polis cedera ekoran tindakan agresif ‘Mat Rempit’.

“Kita harap apa yang berlaku di Tanjung Lumpur itu dijadikan ikhtibar dan apa yang penting ketika bertugas khususnya membabitkan operasi sekatan jalan raya, keselamatan diri diutamakan,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN