PETALING JAYA: Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (Macsa) menyeru kerajaan menjadi negara pertama menggubal Undang-undang Anti-Tapisan (anti-censorship) Perjuangan Palestin supaya pengendali rangkaian media sosial gergasi seperti Facebook, Twitter dan TikTok dipertanggungjawabkan dalam sebarang bentuk sekatan kebebasan bersuara.
Macsa dalam satu kenyataan memberitahu, sememangnya pengendali rangkaian berkenaan mempunyai hak untuk menyekat ucapan kebencian tetapi apa yang dimaksudkan mereka itu mestilah diperjelaskan.
Menurutnya, sebarang sekatan bersuara mestilah dilaksanakan dengan adil dan telus dan bukan sewenang-wenang serta mengenakan denda yang setimpal terhadap mana-mana syarikat rangkaian sosial gergasi yang melanggar undang-undang berkenaan.
“Macsa memandang serius terhadap pelbagai aduan bahawa syarikat gergasi rangkaian media sosial seperti Facebook, Twitter dan TikTok telah mengenakan sekatan secara tidak adil, diskriminator dan sewenang-wenangnya terhadap berita-berita yang menyentuh keadaan rakyat Palestin. Pelbagai dakwaan dibuat oleh ramai pengguna bahawa syarikat-syarikat itu menyekat kebebasan bersuara mereka dengan menghapuskan posting atau komen yang sah dengan menutup akaun sewenang-wenangnya tanpa memberi alasan serta melalui proses sewajarnya.
“Maka, sudah tiba masanya syarikat rangkaian sosial ini dipertanggungjawabkan ke atas pencabulan kebebasan bersuara. Rakyat Palestin sudah terlalu lama ditindas dengan kejam di bawah rejim Israel dan apa-apa lagi sekatan penyebaran berita dan hak bersuara mereka adalah tidak berperikemanusiaan dan tidak boleh diterima,” jelas kenyataan itu, malam tadi.
Tambah kenyataan itu, Macsa bersolidariti bersama penduduk Palestin dalam perjuangan mereka membebaskan diri daripada penjajahan di wilayah Palestin dan mengecam kerajaan Israel yang mencabul pelbagai undang-undang antarabangsa.
“Ini merangkumi pengusiran penduduk Palestin dari kediaman mereka, mendirikan penempatan Israel baharu di tanah Palestin, pembunuhan orang awam Palestin tanpa bicara, penahanan sewenang-wenangnya kanak-kanak dan wanita Palestin serta pelbagai lagi pencabulan konvensyen-konvensyen antarabangsa yang sudah banyak didokumentasikan.
“Macsa juga menghormati segala usaha rakyat Malaysia dan warga lain di seluruh dunia yang berdiri di belakang rakyat Palestin dengan menyuarakan pendirian dan bantahan mereka terhadap pencabulan pemerintah Israel. Penderitaan mereka dapat disebarkan secara meluas khususnya melalui media sosial,” katanya.