Jabatan Laut perjelas isu kapal tiada SOP tetap - Utusan Malaysia

Jabatan Laut perjelas isu kapal tiada SOP tetap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Laut tampil memperjelaskan ketetapan prosedur operasi standard (SOP) yang menjadi kekeliruan pemain industri perkapalan di negara ini.

Dalam satu kenyataan, Jabatan Laut berkata, segala tatacara dan SOP sentiasa dikemas kini bagi memastikan operasi dan perjalanan sistem pengangkutan maritim berkaitan pelaut mahupun industri perkapalan adalah jelas.

Namun katanya, disebabkan kekeliruan SOP dalam industri maritim, Jabatan Laut telah menyelaras keseragaman menjurus kepada aktiviti operasi perkapalan di kawasan pelabuhan.

“Kesemua kapal yang tiba atau masuk ke kawasan pelabuhan dari India tidak diwajibkan menjalani proses kuarantin 14 hari di laut.

“Deklarasi Kesihatan Maritim kapal-kapal tersebut akan diperiksa oleh pihak Kementerian Kesihatan dan diberikan ‘free-pratique’ sebelum dibenarkan masuk lalu merapat ke dermaga bagi menjalankan operasi,” katanya.

Namun Jabatan Laut berkata, hanya jika kapal disyaki amat berisiko membawa gejala Covid-19, maka kapal akan diperintahkan untuk menjalani kuarantin selama 14 hari di laut.

Selain itu, pekerja pelabuhan dan individu darat dibenarkan menaiki kapal tersebut bagi aktiviti kargo, serta diwajibkan memakai pelitup muka dan sarung tangan.

“Sekiranya mereka memerlukan interaksi dengan mana-mana anak kapal di atas kapal atau memasuki mana-mana ruangan kabin, kesemua individu tersebut perlu penambahan pemakaian pelindung muka dan apron pakaian peralatan perlindungan diri (PPE).

“Bagaimanapun, pemakaian PPE penuh oleh kedua-dua pihak adalah berdasarkan penilaian risiko yang akan ditentukan oleh Lembaga Pelabuhan dengan mengambil kira nasihat Jabatan Laut dan Kementerian Kesihatan,” katanya.

Justeru, dengan SOP yang ditetapkan, Jabatan Laut memberi jaminan bahawa operasi di pelabuhan akan berjalan dengan lancar.

“Jabatan Laut amat komited dalam menjadi agensi penyelaras bagi mengimbangi faktor keselamatan, kesihatan dan ekonomi dalam sektor perkapalan negara,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya