BUTTERWORTH: Cubaan satu sindiket untuk menyeludup kira-kira 9.65 juta batang rokok putih yang dianggarkan bernilai RM772,000 atau melibatkan lebih RM6.3 juta nilai cukai berjaya dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri dalam dua serbuan berasingan baru-baru ini.
Pengarahnya, Abdul Halim Ramli berkata, rokok tanpa cukai yang dipercayai cuba diseludup menggunakan kontena itu dirampas di Pelabuhan Klang pada Rabu dan Jumaat lalu sebelum dibawa balik ke Pulau Pinang untuk siasatan lanjut.
Kata Abdul Halim, pihaknya turut menahan empat lelaki berusia 30-an termasuk seorang pengurus operasi dalam kedua-dua serbuan berkenaan.
“Dalam serbuan pertama, seorang pemandu lori berjaya ditahan bersama 495 ‘master case’ (kotak rokok besar) rokok putih disyaki tidak berkastam atau bersamaan 4.95 juta batang rokok bernilai RM396,000 dan cukai berjumlah RM3.17 juta.
“Sementara itu, dalam serbuan kedua sejumlah 470 ‘master case’ rokok putih atau bersamaan 4.7 juta batang rokok bernilai RM376,000 dan cukai RM3.14 juta berjaya dirampas,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Jelasnya, pengurus operasi itu ditahan selepas serbuan pertama manakala dua lagi individu yang dipercayai pengimport dan ejen penghantaran ditahan selepas serbuan kedua.
Menurut Abdul Halim, modus operandi yang digunakan sindiket tersebut dalam kedua-dua kes ialah dengan mengisytiharkan kontena berkenaan mengandungi barang dagangan seperti karpet.
Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) dan Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967 kerana cubaan mengelak fraudan duti kastam dan larangan import serta Seksyen 74(1)(e) Akta Eksais 1976 yang melibatkan cubaan mengelak fraudan duti eksais.
“Sabit kesalahan, mereka yang terlibat boleh didenda tidak kurang 10 kali nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar atau dipenjara antara enam bulan hingga lima tahun mengikut peruntukan untuk ketiga-tiga kesalahan berkenaan,” katanya.
Tambah Abdul Halim, siasatan lanjut bagaimanapun masih dijalankan ketika ini bagi mengenal pasti sama ada kesemua individu yang ditahan itu mempunyai kaitan dan sebagainya. – UTUSAN