PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM) berjaya menyelesaikan isu tuntutan pengiktirafan dan perjanjian kolektif yang berlarutan selama 10 tahun antara RHB Bank Bhd. dan Kesatuan Eksekutif RHB Bank Bhd.
Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, isu tuntutan pengiktirafan dan perjanjian kolektif itu bermula sejak tahun 2011 dan berlanjutan sehingga ke peringkat Mahkamah Persekutuan, dan penyelesaian itu dipersetujui menerusi satu majlis menandatangani memorandum persefahaman yang berlangsung semalam.
“Kejayaan ini adalah rentetan usaha majikan dan kesatuan melalui beberapa siri perundingan yang turut dihadiri oleh wakil daripada JPPM.
“KSM berharap penyelesaian tuntutan oleh Kesatuan Eksekutif RHB Bank Bhd. ini menjadi contoh terbaik kepada semua majikan dan kesatuan dalam mencari penyelesaian sekiranya wujud sebarang pertikaian pada masa hadapan,” jelasnya menerusi satu kenyataan akhbar hari ini.
Saravanan berkata, KSM menyeru agar majikan dan kesatuan dapat menjalinkan kerjasama yang baik dalam mencapai persefahaman.
“ Ini penting dalam usaha meningkatkan produktiviti serta perhubungan perusahaan yang harmoni di tempat kerja,” katanya. -UTUSAN ONLINE