Isu LGMPC, Ahmad Nazlan sedia disiasat - Utusan Malaysia

Isu LGMPC, Ahmad Nazlan sedia disiasat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Bekas Pengerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM), Datuk Ahmad Nazlan Idris bersedia disiasat Suruhanjaya Pencegahan  Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu LGM Properties Corporation (LGMPC), iaitu perbadanan milik LGM yang tular dalam media sosial beberapa hari lalu termasuk desakan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Beberapa hari lalu tular di media sosial yang  membangkitkan isu penjualan dan pajakan tanah perdana LGM di bawah harga pasaran malahan beliau telah diminta penjelasan. 

Ahmad Nazlan yang juga Ahli Parlimen Jerantut berkata, beliau tampil memberikan penjelasan hari ini kerana namanya telah dikaitkan sebagai Pengerusi LGM dalam isu LGMPC berkenaan.

“Saya ingin menegaskan bahawa saya tidak lagi menjadi Pengerusi LGM setelah ditamatkan kontrak pada 14 April yang lalu.

“Dalam isu LGMPC, saya tidak terlibat dan saya sahkan Ahli Lembaga Pengarah LGM amat mengambil berat serta cakna dengan kegagalan tadbir urus LGMPC,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Perkhidmatan Parlimen Jerantut di sini hari ini.

Menurut Ahmad Nazlan, satu Jawatankuasa ditubuhkan dan tindakan serta langkah penambahbaikan telah dibuat oleh LGM sebelum ini, namun menteri berkenaan campur tangan dan membiarkan LGMPC  berjalan seperti biasa.

“Dalam isu sewaan tanah 70 sen sekaki, LGM hanya bersetuju untuk pajakan lima tahun dan ditambah 10 tahun. Namun menteri berkenaan mahukan lima + 10 + 10 menjadikan 25 tahun.

“Hasil yang diperoleh oleh LGM selepas 25 tahun melebihi RM1 bilion sekiranya diuruskan dengan cara yang lebih baik berbanding dengan hasil sewaan cuma RM42 juta sahaja kepada syarikat milik rakyat Turki berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, berkaitan dengan isu penjualan tanah warisan, tindakan terakhir beliau, iaitu menulis surat kepada Jabatan Warisan Negara kerana tanah itu adalah tanah warisan.

“Harus saya tekankan segala tuduhan terhadap diri saya adalah tidak benar dan saya telah cuba bersama dengan Ahli Lembaga Pengarah (ALP) yang lain menjalankan tugas dengan penuh integriti.

“Saya mendapat kerjasama sepenuhnya dari ALP LGM dan mereka sangat komited dan bertanggungjawab dalam hal perancangan dan pengurusan,” katanya.

Ahmad Nazlan berkata, ALP turut menubuhkan tiga jawatankuasa khas termasuk audit dalaman bagi membetulkan isu dalaman LGM. 

“ALP sangat komited untuk menguruskan dengan baik kira kira 1.5 bilion aset LGM yang juga harta seramai 450,000 orang pekebun kecil seluruh negara.

“Mengenai isu yang berbangkit serta tular di media sosial baru-baru ini dengan mengaitkan nama saya. Dengan ini saya juga bersama ALP rela disiasat oleh pihak SPRM tentang perkara ini,” katanya.

Beliau juga mengulangi pendiriannya menolak jawatan Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) setelah mendapat surat lantikan daripada Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi selepas ditamatkan jawatan Pengerusi LGM baru-baru ini. 

“Saya ucapkan terima kasih dan saya ingin maklumkan bahawa saya menolak jawatan tersebut,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya