KOTA BHARU: Isu air kuning seakan-akan teh tarik yang diterima pengguna, Asrul Mamat di rumahnya di Kampung Batu 2 1/2, di sini yang tular dalam media sosial baru-baru ini dipandang serius Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).
Ketua Jabatan Operasi AKSB, Mohd. Ashri Awang berkata, aduan Asrul telah diambil tindakan sewajarnya oleh pihak AKSB yang segera menyelesaikan masalah dihadapi pengguna terbabit.
“Pihak operasi sudah ambil tindakan (berhubung aduan) dan cadangan telah diberikan kepada pengadu,” katanya ringkas kepada Utusan Malaysia hari ini tanpa mengulas lanjut perkara itu.
Terdahulu dalam sidang akhbar berasingan, Mohd. Ashri memberi jaminan bekalan air sepanjang sambutan Hari Raya Aidilfitri kali cukup untuk menampung keperluan penduduk di seluruh negeri.
“AKSB menjangkakan tahun ini masalah bekalan air dapat dikurangkan kerana peningkatan pengguna dijangka tidak akan berlaku secara mendadak seperti tahun-tahun sebelum ini.
“Kalau mengikut rekod terdahulu, semasa musim perayaan, penggunaan air yang biasanya satu meter padu bagi setiap rumah meningkat mendadak kepada 1.2 meter padu,” katanya.
Tambah beliau, AKSB turut menyediakan 446 tangki statik serta 30 lori tangki berisi air terawat setiap dua atau tiga kali sehari bagi menampung keperluan di kawasan ‘panas’ yang dilaporkan sering terputus bekalan.
“Secara purata, sebanyak 520 juta liter air disalurkan kepada lebih 260,000 akaun sedia ada atau 1.1 juta pengguna di Kelantan setiap hari,” katanya. -UTUSAN ONLINE