PUTRAJAYA: Bilangan pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara semalam merekodkan 628 individu diberkas berbanding 694 individu dicekup kelmarin.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 609 individu dikenakan kompaun manakala 19 lagi direman hasil pemantauan melibatkan 16,107 anggota Task Force Operasi Pematuhan.
“Kesalahan tertinggi kali ini ialah tidak memakai pelitup muka iaitu sebanyak 162 kes diikuti gagal merekod butiran diri dengan 158 kes, tidak patuh arahan PKP (80), rentas kawasan tanpa kebenaran (61), gagal menjaga jarak fizikal (47) dan lain-lain lagi (120),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, seramai 26 pendatang asing tanpa izin juga ditahan dan tiga kenderaan darat disita melalui Operasi Benteng semalam selain sebanyak 182 bot atau kapal dicurigai turut dikesan berdekatan dengan perairan negara melalui lapan aktiviti penglihatan pasukan keselamatan.
Menyentuh isu kuarantin wajib, seramai 646 individu tiba di tanah air semalam dengan kesemua dikuarantin dengan sejumlah 8,356 individu masih lagi berada di pusat kuarantin seluruh negara, manakala 2,163 individu dibawa ke hospital serta 201,428 individu lagi dibenarkan balik ke rumah.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemantauan 11 jenis bekalan barangan di 546 peruncit, 162 pemborong dan 32 pengilang termasuk 1,413 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan ke semua premis terlibat mematuhi peraturan.
Beliau juga mengesahkan, tiada pekerja asing yang didapati positif Covid-19 daripada 89 pekerja disaring semalam. -UTUSAN ONLINE