KANGAR : Industri perikanan di Kuala Perlis berkemungkinan lumpuh apabila terpaksa menanggung kerugian hampir RM23 juta berikutan lebih 70 atau 80 peratus daripada keseluruhan 150 pengusaha bot di sini tidak dapat turun ke laut sejak 15 bulan lalu.
Ini ekoran kegagalan ratusan pekerja yang terdiri daripada warga Thailand kembali semula ke negara ini berikutan penutupan pintu sempadan disebabkan penularan Covid-19 sejak Mac tahun lalu.
Lebih malang, ramai dalam kalangan pengusaha terpaksa menjual bot apabila sudah tidak mampu lagi menanggung kerugian khususnya daripada segi kos penjagaan atau baik pulih bot.
Mereka terpaksa mengeluarkan modal sendiri dan dalam masa sama pengusaha tersebut tidak mempunyai pendapatan selepas sekian lama tidak dapat turun ke laut.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Persatuan Perniagaan Ikan dan Pengusaha Bot Kuala Perlis, Liew Seak Tong berkata, setiap bulan dianggarkan pendapatan seorang pengusaha bot terbabit adalah sebanyak RM10,000 hingga RM15,000 dengan dalam tempoh 15 bulan sebanyak RM150,000.
Katanya, apabila tidak dapat turun ke laut, para pengusaha tersebut sudah hilang pendapatan sebanyak RM1.5 juta sebulan dan dalam tempoh 15 bulan kerugian boleh mencecah sehingga RM23 juta.
Jelasnya, daripada segi penjagaan dan baik pulih bot, para pengusaha dianggarkan mengalami kerugian sekitar RM5,000 sebulan atau RM750,000 dalam tempoh 15 bulan.
“Masalah ketiadaan pekerja cukup menghantui para pengusaha di sini apabila hanya sekitar 20 atau 30 peratus sahaja bot yang keluar ke laut ketika ini.
“Jika sebelum ini, para pengusaha boleh menghasilkan lebih 60 hingga 70 tan metrik ikan sehari namun kini, hanya 10 tan sahaja dengan terpaksa bergantung kepada bekalan ikan import bagi menampung keperluan.
“Jika masalah ini terus berlarutan, tidak mustahil industri perikanan di sini boleh lumpuh dalam tempoh terdekat,” katanya.
Sehubungan itu, Seak Tong berharap kerajaan dapat memberi kelonggaran dengan membenarkan kembali warga asing kembali bekerja di negara ini khususnya dalam sektor perikanan.
Katanya, para pengusaha akan mengikuti segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan jika pekerja dalam sektor perikanan ini kembali dibenarkan datang bekerja di sini.
“Bukan semua warga asing dibenarkan kembali sebaliknya mereka yang terlibat dalam sektor perikanan ini sahaja,” katanya.
Tambahnya, para pengusaha bukan tidak memberi peluang kepada pekerja tempatan namun mereka tidak berminat dalam sektor perikanan ini.
Katanya, masyarakat tempatan khususnya golongan muda tidak sanggup turun ke laut menangkap ikan sebagaimana yang dilakukan nelayan warga asing ketika bekerja dengan mereka selama ini.
“Kalau masyarakat tempatan ini berminat, lagi baik dan tidak perlu lagi kami terpaksa bergantung kepada pekerja warga asing. Sekarang ini dapat dilihat sekitar sini, ratusan bot ini hanya mampu tersadai sahaja,” katanya. -UTUSAN ONLINE