PETALING JAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, hasil perbincangan bersama Bank Negara Malaysia (BNM), industri perbankan memberi jaminan dan komitmen penuh untuk terus memberikan bantuan pembayaran balik pinjaman dan moratorium.
Sehubungan itu jelasnya, bagi semua golongan B40 dan rakyat yang terjejas ekoran kehilangan pekerjaan serta perusahaan mikro dan PKS yang tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), mereka diberi pilihan untuk mendapatkan kelulusan moratorium secara automatik selama tiga bulan atau boleh memilih mendapatkan pengurangan bayaran balik secara ansuran sebanyak 50 peratus selama tempoh 6 bulan.
Beliau berkata, inisiatif itu akan dilaksanakan segera pada Jun yang dijangka memanfaatkan lebih dari lima juta peminjam dengan nilai sehingga RM30 bilion.
“Insya-Allah, industri perbankan akan memberikan maklumat lebih terperinci berhubung perkara ini mulai esok. Saya berharap, pengumuman moratorium automatik ini dapat memberi sedikit kelegaan kepada peminjam institusi perbankan. Para peminjam hanya perlu menghubungi bank masing-masing untuk mendapat manfaat bantuan ini,” katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri: Bantuan PKP 3.0 malam ini.
Muhyiddin memberitahu, kerajaan juga akan melancarkan Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi pada minggu ini dengan nilai peruntukan RM1 bilion dan melalui skim itu, pengusaha bas dan teksi yang layak boleh mendapatkan moratorium pinjaman sehingga 12 bulan dan melanjutkan tempoh pinjaman sehingga 36 bulan.
“Saya menyarankan supaya agensi dan syarikat kerajaan menawarkan penangguhan bayaran balik pinjaman serta diskaun sewa premis perniagaan. Pihak Mara akan meneruskan program MARA PRIHATIN Peace of Mind yang dibuka sehingga 31 Julai 2021.
“Peminjam boleh memohon secara dalam talian untuk membuat penjadualan semula bayaran balik pinjaman pelajaran atau moratorium. Bagi usahawan Mara yang terkesan akibat penutupan ekonomi, pemberian diskaun 30 peratus ke atas sewaan premis perniagaan akan diberi untuk Mei sehingga Julai ini,” katanya.