KANGAR : Jumlah individu dari luar menerima suntikan vaksin Covid-19 di negeri meningkat sehingga lebih 100 orang setiap hari khususnya selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri lalu.
Difahamkan, ada dalam kalangan individu yang datang dari Lembah Klang, Pulau Pinang, Kedah termasuk melibatkan mereka dari kawasan zon merah Covid-19.
Setiausaha Kerajaan negeri, Azman Mohd Yusof berkata, mereka yang berasal dari Perlis itu telah mendaftar menerima vaksin di negeri ini.
“Kami telah menyediakan ruang khas bagi mereka (penerima vaksin) ini supaya tidak bercampur dengan penduduk tempatan untuk tujuan keselamatan dan langkah berjaga-jaga.
“Kalau mereka datang dari zon merah maka perlulah kuarantin terlebih dahulu. Selain itu, mereka perlu mendapatkan kebenaran untuk merentas negeri daripada polis. Jika gagal mendapat kebenaran, maka Mysejahtera akan menetapkan semula tarikh baharu,” katanya ketika ditemui selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Wawasan 2020 di sini hari ini.
Tambah Azman, sebanyak 1,122 individu yang pulang ke negeri ini dan Individu Dalam Siasatan (PUI) menjalani kuarantin di rumah.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, PPV baharu akan dibuka di Dewan Seri Melati, Beseri Isnin depan sebagai usaha mempercepatkan proses vaksinasi selain mengelakkan kesesakan di pusat itu.
Katanya, dewan tersebut dijangka dapat menampung kapasiti pemberian vaksin antara 400 hingga 500 dos sehari.
“Dewan Melati akan memberi kemudahan kepada penduduk setempat untuk mendapatkan suntikan. Jika kapasiti di sana penuh, mereka akan datang ke Dewan 2020.
“Buat masa ini, PPV Dewan 2020 mampu memberikan 1,400 suntikan setiap hari dan dijangka dapat ditingkatkan kepada 1,800 dalam masa terdekat bagi mempercepatkan proses vaksinasi,” katanya. -UTUSAN