PETALING JAYA: Kadar indeks jenayah di seluruh negara menunjukkan trend penurunan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, trend penurunan itu hasil operasi dilakukan pihak polis secara berterusan bagi mengesan aktiviti jenayah di lapangan.
Katanya, sejak PKP terbaharu ini, trend jenayah masih terkawal dan menurun kerana kehadiran pasukan pemantau polis sekali gus mengurangkan peluang penjenayah untuk melakukan jenayah.
“Bagaimanapun, pasukan JSJ masih mengambil tindakan pencegahan jenayah.
“Sepanjang tempoh PKP juga, kami akan meneruskan operasi, siasatan dan proses pendakwaan,” katanya selepas meninjau sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Jalan Duta arah pusat bandar di sini hari ini.
Operasi itu turut disertai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusof serta Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya.
Sementara itu, Zulkefly memberitahu, pihaknya mengeluarkan enam kompaun terhadap pengguna jalan raya menerusi dua SJR di Plaza Tol Sungai Besi dan Plaza Tol Jalan Duta bagi tempoh Sabtu lalu hingga semalam apabila didapati tiada surat kebenaran untuk merentas negeri.
Katanya, antara alasan mereka kerana ingin membeli-belah barang kelengkapan untuk sambutan Aidilfitri di ibu negara.
“Berdasarkan tinjauan, kami mendapati keadaan trafik hari ini terkawal dan tidak sesak berikutan kurang kenderaan di jalan raya.
“Ini sekali gus menunjukkan rakyat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKP dengan hanya keluar rumah jika mempunyai urusan penting atau berkerja,” katanya.- UTUSAN ONLINE