PUTRAJAYA: Malaysia perlu mencapai imuniti kelompok lebih awal berbanding yang disasarkan bagi mengelak ancaman beberapa varian baharu Covid-19 ke negara ini akhir-akhir ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, pihaknya mendapati berlaku peningkatan kes pesakit kritikal kategori empat dan lima di hospital ketika ini berbanding akhir tahun lalu.
Beliau berkata, kajian mendapati peningkatan kes kritikal itu berpunca daripada kelewatan mendapatkan rawatan di hospital.
“Kami juga mendapati, perkara itu berlaku berkemungkinan disebabkan varian baharu yang lebih agresif ketika ini yang mana ia turut membawa kesan komplikasi kesihatan yang lebih serius.
“Kita sedang mengkaji perkara ini. Pemerhatian klinikal juga mendapati terdapat perubahan profil pesakit berusia kurang 60 tahun yang kini menunjukkan gejala lebih serius berbanding sebelum ini.
“Mereka juga kurang menunjukkan reaksi terhadap rawatan yang diberikan berbanding awal pandemik tahun lalu,” katanya dalam sidang akhbar perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di sini hari ini.
Adham berkata, bagi menangani masalah ini, kementeriannya bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan Jawatankuasa Khas Jaminan Bekalan Vaksin (JKJAV) perlu memastikan negara mencapai imuniti kelompok lebih awal.
Katanya, beliau juga menyeru orang ramai supaya menjalani saringan Covid-19 seawal mungkin apabila bergejala atau mempunyai kontak rapat dengan pesakit Covid-19 supaya rawatan awal dapat diberikan.
Menurutnya, berdasarkan data dikeluarkan Pasukan Data Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), peratusan pesakit Covid-19 bagi kategori empat dan lima meningkat secara ketara sejak Januari hingga April lalu.
“Peratusan pesakit kategori empat dan lima pada Januari adalah 6.7 peratus sebelum ia meningkat kepada 25.2 peratus pada April lalu.
“Analisis itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding kes pesakit kategori empat dan lima yang direkodkan pada akhir tahun lalu iaitu sekitar 5.6 peratus,” katanya.
Sementara itu, Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin berkata, setakat semalam, Malaysia sudah menerima 1,938,660 dos daripada Pfizer-BioNTech, Sinovac, dan AstraZeneca manakala mereka yang sudah disuntik adalah seramai 1,453,382.
“Setakat ini, kadar penggunaan ialah 75 peratus manakala 25 peratus lagi disimpan untuk janji temu yang disusun berdasarkan jadual penghantaran vaksin.
“Bagi meningkatkan kadar pemberian vaksin, kita akan mendorong pengambilannya sehingga 80 peratus selepas Aidilfitri,” katanya.