KOTA BHARU: Empat penduduk Kampung Pauh Lima, di sini mengaku menunaikan solat sunat tarawih berjemaah tanpa penjarakan fizikal dalam keadaan gelap sepanjang bulan Ramadan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Ketua Polis negeri, Datuk Shafien Mamat berkata, hasil keterangan awal empat individu terbabit, termasuk imamnya sendiri, mereka dikatakan menunaikan solat tarawih dengan cara tersebut di Surau Kampung Pauh Lima hampir setiap malam.
“Setakat ini, hanya empat daripada jemaah surau itu yang mengaku manakala yang lain kita belum ambil keterangan kerana mereka kini positif Covid-19 dan sedang menjalani tempoh kuarantin.
“Polis menyiasat kejadian itu kerana mereka menunaikan solat tanpa penjarakan fizikal ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Akhbar ini baru-baru ini melaporkan penduduk sanggup solat berjemaah tanpa penjarakan fizikal di Surau Kampung Pauh Lima dalam keadaan gelap selain menyorok selipar,sepanjang Ramadan lalu bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Perbuatan itu mengundang padah apabila Covid-19 menular sehingga mencetuskan Kluster Pauh Lima sebelum seluruh kampung dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai 19 Mei hingga 1 Jun depan.
Shafien berkata, pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) itu disiasat mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 serta Peraturan 17(1) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.
Tambahnya, mereka turut disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan penyakit. -UTUSAN ONLINE