KOTA BHARU: Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa mengambil inisiatif memujuk rakyat Kelantan menyokong Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) menerusi satu rakaman video yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya sejak semalam.
Dalam video tersebut, Ahli Parlimen Ketereh itu yang menggunakan loghat Kelantan sepenuhnya berkata, laporan terdapat 10,000 individu di negeri ini tidak hadir untuk menerima vaksin amat mengejutkan dan beliau tertanya-tanya apakah punca sebenar.
“Di tempat lain seperti Kuala Lumpur orang berebut-rebut kerana lambat dapat peluang untuk vaksin. Ada sesetengah rakyat di Selangor contohnya, sampai sanggup nak bayar RM300 atau RM400 untuk dapat suntikan vaksin.
“Bila ambo dengar di Kelantan sampai 10,000 orang tidak pergi cucuk vaksin, ambo ingat orang bekok (tipu), bila tanya menteri yang jaga vaksin, memang betul sungguh, rupa-rupanya ramai orang Kelantan tak pergi cucuk vaksin ikut jadual.
“Kenapa jadi macam itu? Barangkali was-was? Atau takut? Atau ada masalah pengangkutan? Macam di Ketereh, semalam Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sudah mula dibuka, patut kena pergilah siapa yang sudah dipanggil,” kata beliau.
Tambah Annuar, Covid-19 tidak boleh dibuat main-main atau menjadi bahan untuk berseloroh kerana jangkitan pandemik tersebut amat berbahaya dan sudah banyak meragut nyawa di seluruh dunia.
“Cakap pasal mati, memang betul hidup mati ini kerja tuhan tetapi ikhtiar untuk melawan sesuatu penyakit itu wajib. Di Malaysia, kerajaan siap beri vaksin secara percuma. Kalau ikut harganya yang sebenar beratus-ratus juga,” katanya.
Sehubungan itu kata Annuar, beliau mengambil peluang yang ada menerusi video tersebut untuk mengajak rakyat Kelantan supaya beramai-ramai mendaftarkan diri dan bersedia untuk hadir apabila giliran menerima suntikan vaksin tiba.
“Pakat-pakat cucuk vaksin belaka puak kita di Kelantan. Yang belum daftar, cepat-cepat daftar. Beritahu mak, ayah, cik wo, mok wo, kecil, besar, tua atau muda, semua yang layak terima vaksin, pakat-pakat daftar,” katanya.