SEREMBAN: Kadar penggunaan katil rawatan kritikal, Unit Rawatan Rapi (ICU) Covid-19 di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini hampir penuh dan beberapa buah wad biasa di hospital berkenaan kini ditukar menjadi semi-ICU.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata, di HTJ, terdapat 10 buah katil di ICU untuk menempatkan pesakit Covid-19 yang kritikal dan tambahan empat lagi buah katil di Hospital Tampin.
Menurutnya, bagi memastikan kelancaran proses rawatan pesakit Covid-19 terutamanya yang memerlukan mesin bantuan pernafasan, beberapa buah wad biasa ditukar fungsinya menjadi semi-ICU.
“Kita kini ada dua buah hospital bagi menempatkan pesakit Covid-19 19 iaitu di Hospital Tampin dan HTJ. Di HTJ memang ICU hampir penuh dan bagi menampung peningkatan kes pesakit Covid-19 yang kritikal dan memerlukan mesin bantuan pernafasan di negeri ini, HTJ telah menukar fungsi beberapa buah wad biasa menjadi semi-ICU memandangkan ICU hampir penuh.
“Setakat ini kita gunakan mesin bantuan pernafasan yang ada. Bagi langkah awal pihak Jabatan Kesihatan Negeri Negeri Sembilan (JKNNS) juga telah memohon bantuan mesin bantuan pernafasan daripada Kementerian Kesihatan jika keadaan memerlukan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Veerapan berkata, sekiranya terdapat keperluan tambahan untuk pesakit Covid-19, berkemungkinan salah sebuah hospital di negeri ini juga akan di buka sebagai hospital Covid-19.
Menurutnya, Hospital Rembau tidak lagi digunakan untuk tujuan rawatan pesakit Covid-19 dan hospital berkenaan juga dalam keadaan ‘defective period’ serta terdapat kerja-kerja yang perlu dilakukan dalam tempoh berkenaan.