Ibu terlantar strok, Aidilfitri sudah tidak ceria - Utusan Malaysia

Ibu terlantar strok, Aidilfitri sudah tidak ceria

NOR Baiti menjaga ibunya yang terlantar akibat serangan strok seminggu sebelum Ramadan lalu di kediaman mereka di Kampung Guar Syed Alwi, Kangar, Perlis. - UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Bagi dua beradik dari Kampung Guar Syed Alwi di sini, kemeriahan sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi sudah tidak sama seperti tahun sebelum ini, selepas ibu mereka kini hanya mampu terlantar akibat serangan strok seminggu sebelum Ramadan lalu.

Kejadian itu cukup mengejutkan memandangkan ibu mereka, Gayah Ibrahim, 70, sebelum ini sihat dan masih aktif sehingga terkena serangan itu yang menyebabkan warga emas tersebut hanya mampu terbaring di atas katil berikutan kakinya sudah tidak boleh bergerak.

Berikutan itu, Gayah kini dijaga oleh dua orang anaknya iaitu Nor Baiti Ali, 35 dan Nor Faizah Ali, 32, selain dibantu menantu dan seorang cucu di kediaman berkenaan.

Nor Baiti berkata, ibunya sebelum ini hanya menghidap penyakit darah tinggi dan didapati sihat seperti biasa.

Kata suri rumah itu, ketika kejadian seminggu sebelum bulan puasa lalu, ibu terkena serangan strok ketika mahu bangun pergi ke tandas.

“Masa mula-mula kena strok, ibu mahu bangun untuk pergi ke tandas tetapi tiba-tiba tidak boleh bergerak. Dia jadi lemah dan bila jumpa doktor pun tak ada beritahu apa-apa cuma kata kena strok sahaja.

“Kami memang tidak menyangka ibu diserang strok kerana berlaku secara tiba-tiba, tambahan pula pada masa itu baru nak masuk bulan puasa. Jadi, hari raya tahun ini memang amat berbeza bagi kami dan tidak ceria seperti dahulu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Sementara itu, Nor Faizah yang bekerja di kedai buah pula memberitahu, dugaan itu menyebabkan mereka sekeluarga tidak bersemangat untuk menyambut sambutan Aidilfitri seperti tahun-tahun sebelum ini.

“Tahun ini memang kami tidak ada buat apa-apa persediaan dan semuanya kami bagi tumpuan untuk jaga mak. Kami pun tak ada ‘mood’ nak beraya dalam keadaan begini. Baju raya pun tak beli atau tempah. Sambut Aidilfitri secara ala kadar sahaja,” katanya.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, Gan Ay Ling meluangkan masa melawat keluarga terbabit dan menyampaikan sumbangan bungkusan makanan dan duit raya bagi meringankan beban serta menceriakan mereka.

Ay Ling berkata, pihaknya akan membantu untuk mendapatkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada Gayah bagi meringankan bebanan dari segi membeli ubat dan keperluan lain.

“Kalau dapat bantuan JKM, boleh membantu keluarga ini dari segi keperluan lampin dewasa, krim dan ubat yang diperlukan bagi menjaga ibu mereka yang terlantar,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN