SEREMBAN: Ibu pejabat Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd. (Sains) yang terletak di Seremban 2 dekat sini ditutup sehingga 21 Mei ini.
Ketua Bahagian Perhubungan Awam Sains, Norzita Ismail dalam kenyataan memberitahu, penutupan berkenaan adalah bagi memastikan segala kerja saringan kepada kakitangan dan sanitasi ruang pejabat dapat dijalankan dengan lancar.
“Kerja-kerja saringan dilakukan berikutan beberapa orang kakitangan Sains disahkan positif Covid-19 dan dirujuk kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) untuk tindakan lanjut.
“Tindakan susulan yang perlu dilakukan oleh pihak Sains pada masa ini adalah mengenal pasti kakitangan yang berhubung rapat dan dikenal pasti sebagai Kontak B. Pihak Sains telah berhubung dan bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) untuk menangani perkara ini,” katanya.
Tambah beliau, bagi kerja-kerja sanitasi ruang bekerja di ibu pejabat, Sains mendapatkan bantuan serta kerjasama Bomba Seremban 2 dan ia telah dilaksanakan semalam.
“Sains amat terkesan dengan perkara ini namun tetap meneruskan tanggungjawab bagi kerja-kerja operasi dan agihan bekalan air di seluruh Negeri Sembilan seperti biasa demi keperluan pengguna.
“Sains juga mengharapkan kerjasama semua pihak terutama kepada pelanggan untuk terus mempercayai keupayaan Sains membekalkan bekalan air secara berterusan dengan kualiti air yang terjamin kepada pengguna walaupun dalam keadaan pandemik Covid-19 yang semakin meningkat pada masa ini,” katanya.