PUTRAJAYA: Vaksin Sinovac dan AstraZeneca tidak disaran diambil oleh ibu mengandung dan ibu yang sedang menyusukan anak berikutan data melibatkan dua produk terbabit tidak mencukupi.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya menyarankan dua golongan terbabit mengambil vaksin keluaran Pfizer-BioNtech sahaja.
Beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berkata, saranan ini dibuat berikutan data melibatkan keberkesanannya dan kesan sampingan dua jenama terbabit masih belum mencukupi.
“Saya sudah meminta Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) menyelaras dengan semua hospital berkaitan bagi membolehkan dua golongan itu menerima vaksin Pfizer.
“Berdasarkan data dan pihak Kementerian Kesihatan vaksin Pfizer sesuai untuk ibu mengandung yang usia kandungan antara 14 hingga 33 minggu tetapi ia boleh disyorkan untuk ditangguhkan sehingga selesai bersalin,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar mengenai perkembangan PICK bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Khairy berkata, Pusat Pemberian Vaksin AstraZeneca (PPVAZ) semalam, merekodkan sebanyak 10,668 individu sudah menerima suntikan vaksinasi di ketiga-tiga buah PPVAZ iaitu di WTCKL, Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia.
“Seperti yang telah dimaklumkan sebelum ini, WTCKL adalah PPVAZ terbesar di Malaysia setakat ini dengan kapasiti vaksinasi sebanyak 8,100 dos setiap hari malah pada hari pertama sahaja, WTCKL mencatatkan rekod sebanyak 8,360 dos vaksinasi dan 8,595 dos pada hari keduanya semalam.
“Bagi PPVAZ di Universiti Malaya, sebanyak 1,090 dos manakala Universiti Kebangsaan Malaysia, 983 dos,” katanya.- UTUSAN ONLINE