PUTRAJAYA: Golongan ibu hamil digesa mendapatkan vaksin Covid-19 dan tidak terlalu takut untuk menerima imunisasi itu kerana risiko lebih buruk boleh berlaku jika mereka dijangkiti wabak tersebut.
Ketua Jabatan Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Pantai Kuala Lumpur (PHKL), Dr. Premitha Damodaran berkata, golongan itu boleh mendapatkan vaksin dalam tempoh antara minggu 14 dan minggu 33 kehamilan.
Katanya, beliau mengambil maklum terdapat desas-desus kebimbangan dalam kalangan ibu hamil yang terlalu takut untuk mendapatkan vaksin Covid-19 dan menerima pelbagai persoalan daripada pesakitnya tentang keselamatan vaksin tersebut terhadap kandungan mereka.
“Apabila seseorang wanita hamil, tubuhnya mengalami perubahan drastik untuk disesuaikan dengan kesihatan dan keselamatan bayi dalam kandungannya. Tahap imuniti si ibu menurun dan si ibu mudah terdedah kepada pelbagai jenis penyakit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Kebangsaan, Khairy Jamaluddin baru-baru ini mengumumkan bahawa vaksin Pfizer adalah pilihan vaksin sesuai untuk golongan ibu hamil dan menyusukan.
Premitha berkata, golongan ibu sebenarnya sudah lama menerima vaksin sepanjang kandungan untuk menjamin kelahiran bayi yang sihat dan terlindung daripada penyakit.
Justeru, katanya, mereka juga perlu dipastikan untuk mendapatkan vaksin Covid-19 kerana penyakit tersebut telah terbukti lebih berbahaya berbanding penyakit lain.
“Dalam kes positif Covid-19 melibatkan ibu hamil, kategori klinikal penyakit tersebut boleh bertambah serius dalam masa singkat berbanding individu lain.
“Sekiranya mereka yang tidak hamil masih boleh dikuarantinkan di rumah bagi kategori 1 atau 2, keadaan ibu hamil boleh melarat dengan cepat kerana rahim ibu yang mengembang mengikut tempoh kehamilannya terutama selepas memasuki bulan keempat yang memberi impak terhadap paru-paru si ibu.
“Sebab itu, ibu hamil yang disahkan positif sering kali ditahan di hospital untuk perhatian lanjut sehingga betul-betul sembuh,” katanya.
Berhubung kesan sampingan vaksin Covid-19 yang turut merisaukan golongan ibu hamil, Dr. Premitha memberi keyakinan bahawa kesan selepas vaksinasi seperti rasa lenguh, pening kepala, mual dan demam boleh dirawat dan tidak mendatangkan mudarat kepada ibu dan bayi kerana kesan tersebut akan hilang dalam masa terdekat.
Sekiranya perlu, katanya, doktor akan memberikan ubat paracetamol untuk ibu hamil menangani kesan sampingan tersebut.
“Jangan keliru kesan ini dengan kesan alahan. Alahan boleh mengakibatkan serangan kejutan (anaphylactic shock) sehingga muka bengkak dan sukar bernafas.
“Kita perlu cuba bertahan dengan rasa kurang selesa selepas divaksinkan kerana dalam tempoh hamil, kesihatan ibu adalah yang paling mustahak. Tanpa ibu yang sihat dan bebas penyakit, bagaimana bayi yang sihat dapat dilahirkan?” katanya.
Pada masa sama, beliau meminta para ibu mendapatkan maklumat yang tepat daripada sumber sahih dan tidak mudah terpedaya sebaran di media sosial,sebaliknya perlu mendapatkan nasihat daripada doktor berhubung kehamilan dan vaksinasi.
Malah, katanya, petugas kesihatan yang hamil juga ada yang sudah mengambil vaksin dan sehingga kini mereka tidak mengalami apa-apa isu berkaitan Covid-19 sepanjang kehamilan.
“Dengan ribuan kes baharu yang dicatatkan dalam negara setiap hari, saya berharap ibu hamil dan menyusukan akan terus mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan dan memilih untuk divaksinkan,” katanya. -UTUSAN ONLINE