Hukuman berat ceramah tolak vaksin - Utusan Malaysia

Hukuman berat ceramah tolak vaksin

ZULKIFLE (tengah) menyampaikan sumbangan keperluan kepada petugas PPV Pasir Mas di Lobi Maik, Kota Bharu hari ini. - UTUSAN/ROSALWANI CHE SOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Penceramah atau imam yang didapati menyampaikan kuliah bertentangan dengan dasar kerajaan berkaitan penularan wabak dan program imunisasi Covid-19 di Kelantan bakal berdepan tindakan tegas.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Zulkifle Ab. Rahman bagaimanapun berkata, setakat ini belum ada tindakan dikenakan terhadap mereka yang terlibat. 

“Tindakan tegas akan dikenakan termasuk hukuman yang berat. Kita akan nilai bergantung kepada kesalahan dilakukan,” katanya dalam sidang akhbar di lobi pejabat Maik, Lundang di sini hari ini.

Terdahulu, Zulkifle menyerahkan sumbangan pelbagai barangan keperluan bernilai hampir RM10,000 untuk kegunaan petugas barisan hadapan dan petugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pasir Mas.

Barangan keperluan berupa 500 pelindung muka, 200 botol cecair pembasmi kuman, 220 pelitup muka fabrik, 500 botol air minuman dan 500 bungkus makanan itu diserahkan kepada Ketua Jajahan Pasir Mas, Hazmi Abdul Hamid.

Mengulas lanjut, menurut Zulkifle, tindakan menyampaikan kuliah bertentangan dasar kerajaan boleh menyebabkan masyarakat menolak vaksin sedangkan kes Covid-19 sudah mencapai 900 orang sehari di Kelantan.

“Tiada pasukan khas bagi memantau keadaan ini namun Maik bekerjasama rapat dengan Ketua Jajahan yang menjadi mata dan telinga kita jika ada pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) atau ceramah yang salah.

“Penceramah bertauliah ini mempunyai pengaruh besar dalam masyarakat. Jika mereka menjadi penyebab ramai yang tidak mahu mendapatkan suntikan vaksin, maka kita khuatir keadaan bertambah bahaya,” katanya.

Terdahulu Maik mengeluarkan larangan segala penyampaian pengajaran kuliah yang bertentangan dengan dasar kerajaan berkaitan penularan wabak dan program imunisasi atau vaksinasi Covid-19, ekoran ada segelintir individu dikatakan berbuat demikian.- UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya