KANGAR : Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini tidak menolak kemungkinan menerima pesakit Covid-19 dari Kedah jika kapasiti katil di negeri jiran itu sudah tidak mampu menampung jumlah pesakit yang ada.
Pengarahnya, Dr. Othman Warijo berkata, perbincangan antara pihak hospital dari kedua-dua negeri akan dibuat dengan melihat kepada keperluan perkara tersebut.
“Bagaimanapun, pada masa ini, tiada lagi sebarang susun atur secara rasmi mengenai perkara itu. Perbincangan tersebut perlu dibuat antara pihak negeri ini dan juga Kedah.
“Kalau kes semakin meningkat di negeri itu, kita bersedia untuk membantu. Jika kita mampu, kita akan menolong mereka,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambah Othman, kapasiti katil yang digunakan untuk pesakit Covid-19 di negeri ini adalah kurang daripada 50 peratus setakat ini.
“Kapasiti katil bagi Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM), Kangar yang merupakan Pusat Rawatan Risiko Rendah Covid-19 pula masih lagi rendah iaitu tidak sampai 30 peratus,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai satu kes kematian melibatkan varian Afrika Selatan B.1.351 di negeri ini, beliau memberitahu, pesakit tersebut meninggal dunia sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri lagi.
“Cuma hari ini kita terima keputusan ujian yang mengesahkan pesakit tersebut daripada varian terbabit,” jelasnya yang enggan mengulas lanjut sama ada terdapat lagi kes daripada varian sama di negeri ini.
Hari ini, Jabatan Kesihatan negeri memaklumkan terdapat lapan lagi kes baharu Covid-19 di negeri ini melibatkan empat jangkitan tempatan manakala empat lagi kes import B.
Bagi kes jangkitan tempatan membabitkan kes 444 dan 445 dari mukim Sena dikesan melalui saringan kontak rapat kepada kes 428 yang dikesan melalui saringan jangkitan pernafasan akut teruk (SARI).
Kes 446 dari Mukim Wang Bintong pula merupakan kontak rapat kepada kes 406 iaitu anak yang dikesan melalui saringan individu disyaki Covid-19 yang pulang dari Ipoh, Perak.
Manakala kes 447 dari Mukim Sena pula merupakan kes import B yang dikesan melalui saringan individu disyaki Covid-19 dan mempunyai sejarah perjalanan ke Pulau Pinang untuk urusan perkahwinan anak.
Sementara itu, kes 448 di mukim Kechor adalah jangkitan tempatan manakala kes 449 dari mukim Wang Bintong; kes 450 (mukim Utan Aji) dan kes 451 (mukim Paya) pula adalah kes import B. -UTUSAN ONLINE