TAPAH: Aspek keselamatan dan sistem pencegahan kebakaran di semua hotel bajet di daerah Batang Padang berada dalam keadaan baik.
Ketua Zon 4 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Khairil Adli Zakaria berkata, pemeriksaan di 16 hotel bajet di daerah itu mendapati sistem keselamatan berkaitan kebakaran diselenggara dengan sempurna.
Katanya, bangunan yang diduduki juga selamat dan menepati ciri keselamatan ditetapkan JBPM.
“Menerusi pemeriksaan ini, kita fokuskan kepada laluan keluar bagi memastikan tiada halangan termasuk susunan kotak atau perhiasan yang akan menyukarkan pergerakan penghuni semasa kecemasan.
“Laluan keluar ini adalah elemen penting yang perlu dititikberatkan kerana jika berlaku kebakaran atau hal kecemasan lain, ia perkara pertama yang akan dicari penghuni untuk menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui selepas Pemeriksaan Menghapus Bahaya Kebakaran peringkat Zon Tapah di sini hari ini.
Menurut beliau, dalam pemeriksaan itu, pihaknya juga memeriksa Pepasangan Keselamatan Kebakaran di setiap premis.
Katanya, pemeriksaan itu merangkumi lampu kecemasan, tanda keluar, alat pemadam api, sistem hos gelung, sistem pecah kaca dan sistem pengesan.
“Pemantauan dan pemeriksaan semasa musim perayaan ini adalah bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang bahaya kebakaran.
“Sekiranya didapati ada dalam kalangan mereka tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan, maka notis akan dikeluarkan untuk mereka memperbaiki aspek mencegah bahaya kebakaran di premis masing-masing,” katanya.
Tambahnya, kegagalan pemilik premis untuk mematuhi notis itu membolehkan tindakan undang-undang dikenakan mengikut Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 iaitu gagal mematuhi notis penghapusan bahaya kebakaran.