Hasilkan lebih 400 kuih dangai sehari pada bulan Ramadan - Utusan Malaysia

Hasilkan lebih 400 kuih dangai sehari pada bulan Ramadan

MOHAMAD Awang, 72, menunjukkan kuih dangai yang diperbuat daripada kelapa separuh masak di Kampung Lama, Kepala Batas hari ini. -UTUSAN/MOHAMMAD FIRDAUS AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: Kuih dangai atau juga dikenali sebagai rangin merupakan antara kuih tradisional yang popular khususnya dalam kalangan penduduk di utara Semenanjung sejak sekian lama.

Dihasilkan daripada campuran tepung pulut, kelapa parut dan gula yang digaul sebelum dibakar atau dikukus, hidangan yang sering mendapat permintaan tinggi ketika bulan puasa itu bagaimanapun kini semakin sukar untuk ditemukan.

Namun begitu, masih terdapat beberapa pengusaha dangai khususnya di Pulau Pinang yang aktif menghasilkan kuih berkenaan termasuk keluarga Mohamad Awang, 72, di Kampung Lama, di sini.

Dua daripada lapan anaknya kini terbabit secara sepenuh masa dalam perniagaan itu dengan dibantu oleh adik-beradik yang lain.

Salah seorang daripada mereka iaitu Mohd. Zamri Mohamad, 34, memberitahu, dia dan seorang abangnya, Mohd. Faisol, 38, mula mengambil alih perniagaan itu daripada bapa mereka sejak dua tahun lepas.

Katanya, ketika ini mereka menghasilkan dangai yang dikenali sebagai Dangai Legend itu dalam dua perasa iaitu asli yang mengandungi campuran kelapa parut serta dangai jagung.

“Pada hari biasa, kami mampu menghasilkan lebih 100 dangai dalam tempoh sehari bergantung kepada tempahan atau permintaan semasa.

“Bagaimanapun, jumlah itu meningkat berkali-kali ganda hingga melebihi 400 biji sehari pada bulan Ramadan atau musim perayaan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Menurut Mohamad pula, proses menghasilkan dangai bagaimanapun turut bergantung kepada stok semasa kelapa yang menjadi bahan utama dalam menghasilkan kuih berkenaan.

“Dulu senang nak dapatkan kelapa, sekarang ni susah sikit. Harga pun mahal,” katanya yang memberitahu, kelapa mawar adalah kelapa terbaik untuk menghasilkan dangai, namun kelapa matag juga sesuai digunakan untuk tujuan tersebut.

Harga bagi Dangai Legend itu ialah RM1 sebiji dan turut dipasarkan secara online bersama satu lagi juadah tradisional yang mereka hasilkan ketika ini iaitu dodol.

Difahamkan, dangai tersebut juga dalam proses penyelidikan untuk dipasarkan secara sejuk beku pada masa depan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN