Hapuskan segera pukat tunda, kenka dua bot - Utusan Malaysia

Hapuskan segera pukat tunda, kenka dua bot

CHE ANI MAT ZAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (Jaring) menggesa kerajaan menyegerakan dasar penghapusan pukat tunda di Zon B dan pukat kenka dua bot demi kelangsungan sektor perikanan khususnya nelayan tempatan.

Pengerusinya, Che Ani Mat Zain berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dan jabatan berkaitan perlu merangka satu pelan tindakan lebih tegas dan berkesan dalam menangani isu ini dengan mengambil kira data dan situasi sumber perikanan semasa yang kritikal.

Katanya, tempoh ‘soft landing’ dalam penghapusan operasi pukat kenka dua bot yang ditangguhkan sejak 2020 akan tamat tidak lama lagi.

“Penggunaan alat tangkap tunda dan mana-mana alat tangkap tidak lestari dan merosakkan sumber ini perlu dihapuskan dengan segera bagi menjamin bekalan sumber perikanan yang lestari.

“Sehingga hari ini, Jaring tidak melihat satu tindakan yang lebih konkrit daripada pihak Jabatan Perikanan mahupun Kementerian Pertanian dan Industri Makanan setelah perancangan sebelum ini gagal dilaksanakan dengan baik oleh pihak berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Tambah beliau, Jaring khuatir dan bimbang jika terdapat peranan kartel dalam melobi pihak kementerian itu dan jabatan sehingga dasar ini dengan gagal dilaksana dengan baik.

“Pemantauan pihak Jaring mendapati kebanyakan vesel tunda yang melakukan kesalahan hanya didenda dengan jumlah yang mereka mampu bayar.

“Oleh itu, Jaring menggesa dan
mencadangkan setiap kesalahan dan tindakan yang diambil kepada vesel tunda harus dipamerkan secara awam melalui laman sesawang atau media sosial jabatan agar pemantauan awam boleh dilakukan.

“Jaring percaya, terdapat vesel-vesel yang melakukan kesalahan berulang kali tetapi hanya didenda dan dilepaskan tanpa tindakan yang lebih tegas seperti yang digariskan dalam pekeliling yang dikeluarkan,” tambah beliau.

Beliau menambah, usaha memperkenalkan dasar penghapusan alat tangkap ikan itu sudah bermula sejak 2006 melalui pelbagai program namun masih gagal menampakkan hasil.

“Pada 2019 sebanyak lebih 220 ribu metrik tan ikan baja direkodkan oleh pukat tunda. Hanya dalam tempoh masa lima tahun saja lebih sejuta metrik tan ikan baja didaratkan.

“Satu kajian oleh Jabatan Perikanan menunjukkan stok ikan dalam perairan semenanjung Malaysia berada pada paras kritikal dengan hanya berbaki 4.4 peratus berbanding 60 tahun dahulu (kajian 2016). Stok ikan ini semakin merosot dan sumber hanya mampu bertahan kurang dari 30 tahun jika tidak ditangani dengan baik, “ jelasnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya