IPOH: Hanya 12 orang dibenarkan untuk solat berjemaah dan solat Jumaat di masjid dan surau di empat mukim di negeri ini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuatkuasa esok hingga 4 Jun.
Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd. Yusop Husin berkata, perkara itu dititahkan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah setelah menimbangkan sembah nasihat daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak dan merujuk garis panduan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurutnya, solat Jumaat dibenarkan di masjid dan surau diri Jumaat sahaja dengan bilangan jemaah seramai 12 orang terbatas kepada pegawai masjid dan jawatankuasa kariah sahaja.
“Bagi ahli kariah yang lain hendaklah solat Zohor bagi menggantikan solat Jumaat di rumah masing-masing,” katanya dalam pekeliling yang dikeluarkan hari ini.
Mohd. Yusop berkata, solat fardu dan solat jenazah pula dibenarkan di masjid, surau diri Jumaat dan surau sahaja juga dengan bilangan jemaah seramai 12 orang, terbatas kepada pegawai masjid dan jawatankuasa kariah sahaja.
“Bilal yang bertugas hendaklah membuat pengumuman selepas azan iaitu Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Azan sebentar tadi menandakan masuknya waktu solat fardu, sehubungan itu hli kariah disarankan untuk mendirikan solat berjemaah bersama ahli keluarga masing-masing di rumah.
“Tiada aktiviti keagamaan di masjid dan surau seperti kelas agama dan kuliah pengajian,” katanya.
Beliau berharap pihak pengurusan masjid dan surau mematuhi pekeliling yang dikeluarkan bagi mengurangkan risiko penularan wabak penyakit, menetapkan langkah-langkah pencegahan dan keselamatan bagi memastikan kesihatan awam tidak terjejas.
PKPD akan mula dilaksanakan tengah malam ini di empat mukim di negeri ini iaitu Pengkalan Hulu di Daerah Hulu Perak, Taiping di Daerah Larut, Matang dan Selama, Hulu Kinta ( Ipoh, Lahat, Chemor dan Tanjong Rambutan) di Daerah Kinta dan Hulu Bernam Timur di Daerah Muallim. – UTUSAN ONLINE