Had masa dua jam: Pelanggan perlu disiplin diri - Utusan Malaysia

Had masa dua jam: Pelanggan perlu disiplin diri

AIN Arjuna Aziz Zaman (kanan) melihat seorang pelanggan yang mendaftar masuk ke sebuah pasar raya di Seremban 2, Seremban dalam Operasi Penguatkuasaaan Had Masa 2 Jam di sebuah pasar raya hari ini-FOTO/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Orang ramai dinasihatkan untuk mendisiplinkan diri mereka dengan mengikuti had masa maksimum dua jam yang dibenarkan kepada pelanggan untuk berada dalam semua premis peruncitan termasuk pusat beli-belah.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, pihaknya berharap orang ramai dapat mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan itu dengan terlebih dahulu mengenal pasti kehendak dan keperluan masing-masing termasuk ketika berada di pasar raya.

“Jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terdahulu, pelanggan boleh bersantai di pasar raya tetapi kini pihak KPDNHEP mahu setiap pelanggan mendisiplinkan diri dengan mengehadkan masa mereka iaitu selama dua jam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai Operasi Penguat kuasaaan Had Masa 2 Jam di sebuah pasar raya di Seremban 2, dekat sini hari ini.

Seramai 172 individu yang mengunjungi premis perniagaan berkenaan telah diperiksa secara rambang dalam operasi tersebut.

Ain Arjuna berkata, pihaknya mendapati. masa paling lama diambil oleh pelanggan adalah satu jam 50 minit manakala masa paling singkat dicatatkan adalah 15 minit.

“KPDNHEP Negeri Sembilan akan terus menjalankan operasi berkenaan, bukan sahaja di pasar raya malah akan diperluaskan di premis perniagaan yang lain bagi memastikan orang ramai mematuhi peraturan berkenaan.

“Mana-mana individu yang didapati melanggar SOP akan dikenakan kompaun berdasarkan kuasa yang diberikan kepada pihak KPDNHEP iaitu pelanggaran Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021,” katanya.

Dalam pada itu, Ain Arjuna berkata, pihaknya menyambut baik beberapa pasar raya yang mengambil inisiatif menyediakan sistem bernombor bagi memantau had masa seperti yang ditetapkan.

KPDNHEP baru-baru ini mengumumkan tempoh masa pelanggan dalam semua premis peruncitan termasuk pusat beli-belah dihadkan maksimum dua jam, mengikut SOP PKP 3.0.- UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya