Had keluar masuk premis akan dikuatkuasakan dalam PKP 3.0 - Utusan Malaysia

Had keluar masuk premis akan dikuatkuasakan dalam PKP 3.0

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Had kemasukan ke sesebuah premis akan dihadkan mengikut kapasiti dan keluasan premis pada masa akan datang bagi mengekang penularan Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, arahan itu akan membabitkan pusat beli-belah dan pasar raya besar dan ia akan berkuat kuasa pada tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini.

Beliau berkata, pengunjung yang masuk ke pusat beli-belah bukan hanya perlu mengimbas MySejahtera sebaliknya pengawal keselamatan juga akan memastikan mereka yang berisiko tinggi tidak akan dibenarkan masuk.

“Hanya mereka yang berisiko rendah seperti tertera dalam maklumat MySejahtera sahaja akan dibenarkan masuk,” katanya dalam sidang akhbar bersama Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, di sini hari ini.

Katanya, SOP ketat itu adalah antara yang pernah dilaksanakan pada PKP 1.0 yang lalu dan ia akan dilaksanakan selepas ini.

Ismail Sabri berkata, sebagai contoh, premis boleh membenarkan 50 pelanggan dibenarkan masuk dahulu dalam satu-satu masa dan selebihnya akan menunggu giliran untuk masuk.

“Kami akan cuba tambah baik dari segi jumlah pengunjung yang keluar dan masuk ke satu-satu premis.

“Hanya yang tidak bergejala dan berisiko rendah sahaja dibenarkan masuk supaya tidak berlaku kesesakan dalam premis berkenaan,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan memperkenalkan sistem amaran awal Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE) yang berfungsi menyenaraikan lokasi atau premis yang berpotensi menjadi lokasi titik panas penularan Covid-19.

Senarai HIDE pertama yang dikeluarkan Sabtu lalu yang menyenaraikan lebih 150 premis termasuk pasar, hotel, kedai runcit, masjid dan bazar Ramadan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya