MARAN: Guru Latihan Pos? Itu realiti ketika pasca merdeka dalam usaha menampung keperluan guru pada zaman berkenaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang pesara guru, Omar Azman Mohamad, 80, yang juga anak kelahiran Kampung Pantai Chenor di sini memberitahu, pada masa itu mereka yang berminat menjadi guru boleh belajar melalui pos sahaja.
Tambahnya, selepas merdeka tenaga guru begitu diperlukan bagi membasmi buta huruf dalam kalangan rakyat termasuk golongan dewasa.
“Filem Pendekar Bujang Lapok arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee menggambarkan situasi sebenar masyarakat Melayu yang tidak kenal huruf. Walaupun lucu tetapi itulah hakikat sebenarnya.
“Saya ditawarkan menjadi guru hanya sekadar mengangkat tangan setuju semasa berusia 16 tahun ketika sedang belajar dalam darjah tujuh di Sekolah Melayu Temerloh dalam tahun 1957,” katanya sempena Sambutan Hari Guru di sini semalam.
Omar berkata, pada Januari 1958, dia menerima tawaran menjadi guru tidak terlatih di Sekolah Melayu Durian Tawar, Temerloh yang pada masa itu guru besar sekolahnya ialah cucu kepada Datuk Bahaman.
Menurutnya, ketika itu pendapatan menoreh getah lebih mahal berbanding gaji guru sekitar RM95 menyebabkan ada rakan tidak mahu menjadi guru.
“Namun selepas beberapa tahun ada rakan menyesal tidak menerima tawaran guru kerana harga getah jatuh merudum sehingga 25 sen sekati,” katanya.
Menurut Omar, guru dalam era pasca merdeka merupakan kerjaya yang memerlukan ketabahan, patriotisme dan mempunyai semangat untuk membina masyarakat celik huruf.
Beliau yang merupakan guru dalam zaman awal 60-an berkata, kerjaya guru memang menjadi cita-citanya sejak kecil lagi walaupun pada masa itu tidak banyak pendedahan dalam bidang perguruan.
Omar lahir pada 1942 ketika Jepun menjajah Tanah Melayu, di Kampung Pantai Seberang Chenor berasal daripada keluarga petani dan nelayan sungai yang hidup serba sederhana.
Pada masa itu katanya, kedudukan Kampung Pantai di seberang Sungai Pahang menyukarkan penduduk untuk keluar kerana terpaksa menyeberang sungai menggunakan perahu ke jeti pekan Chenor sebelum ke lokasi lain seperti Temerloh.
Katanya, sewaktu masa menjadi guru tidak terlatih, kecintaannya terhadap kerjaya guru semakin menebal dan dia bertekad menyambung pengajian dan mengambil peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) pada 1960 dan lulus cemerlang.
“Pada 1961 dengan kelulusan SRP itu saya diterima masuk ke Pusat Latihan Guru Harian (DTC) di Raub selama dua setengah tahun. Selepas menjalani pendidikan guru secara formal di DTC saya ditempatkan di Sekolah Melayu Pejing,” katanya.
Menyingkap kembali antara kenangan manis zaman menjadi guru, beliau berkata, setiap hari dia mengayuh basikal kira-kira lapan kilometer dari rumah ke sekolah.
Menurutnya, walaupun penat mengayuh basikal, dia tetap bersemangat untuk menabur bakti mendidik anak bangsa.
Antara sekolah yang pernah Omar berkhidmat, Sekolah Melayu Chenor, Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Sentol, SK Bukit Tajau, SK Serengkam (dilantik menjadi Guru Besar), SK Ulu Luit dan SK Senggora.
Cikgu Omar bersara pada 1997 setelah berkhidmat selama hampir 30 tahun dalam bidang perguruan. – UTUSAN ONLINE