Guna bahan bercetak ganti PdPR - Utusan Malaysia

Guna bahan bercetak ganti PdPR

TENGKU Nor Kamizan Tengku Kamarulzaman (kanan) menyerahkan lembaran kerja kepada seorang ibu di Kampung Lepan Jaya, Gua Musang, Kelantan untuk mengikuti PdPR. – UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Gara-gara 1,001 kekangan dalam melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), guru-guru di Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di sini memilih mencetak lembaran kerja rumah untuk diagihkan kepada murid.

Guru Tabika Kemas Nur Hakim di Kampung Lepan Jaya, Tengku Nor Kamizan Tengku Kamarulzaman berkata, ketiadaan peranti atau telefon pintar serta liputan perkhidmatan internet yang lemah antara paling kerap disuarakan kebanyakan ibu bapa.

Katanya, disebabkan keka­ngan yang dihadapi, ibu bapa menyokong supaya lembaran kerja dicetak dan diberikan secara manual kepada mereka berbanding pembelajaran secara maya yang disifatkan sebagai ‘menyusahkan’.

“Majoriti ibu bapa di kawasan luar bandar bekerja sebagai petani, penoreh getah dan suri rumah dengan pendapatan rendah. Mereka tidak mampu membeli peranti atau telefon pintar secukupnya untuk kegunaan setiap anak.

“Bayangkan jika keluarga itu mempunyai anak yang ramai, ia hanya menyebabkan murid-murid prasekolah tercicir kerana ibu bapa sudah tentu mengutamakan anak-anak yang berada di sekolah rendah dan menengah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.

Sementara itu, seorang suri rumah, Nor Ayerza Asahan Dolillah, 37, berkata, dia tidak kisah mengambil lembaran kerja setiap hari untuk dibawa pulang bagi membolehkan anaknya menyiapkan tugasan yang diberikan.

Katanya, apabila anaknya selesai menyiapkan tugasan, dia akan menghantar lembaran kerja tersebut kepada guru untuk disemak.

“Lembaran kertas kerja yang diberikan oleh guru membantu kami memantau pelajaran anak di rumah berbanding belajar melalui telefon kerana anak kurang memberi tumpuan.

“Kaedah PdPR yang dilaksanakan membolehkan kanak-kanak Tabika di kawasan luar bandar mendapat akses pem­belajaran yang sama dengan kawasan bandar,” katanya. UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya