Gerai tepi jalan dilarang beroperasi mulai esok - Utusan Malaysia

Gerai tepi jalan dilarang beroperasi mulai esok

GERAI-GERAI yang dibuka di tepi jalan di seluruh Kelantan sentiasa dipenuhi orang ramai sepanjang bulan Ramadan ini. - UTUSAN/BAHRUDDIN HATTA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan negeri memutuskan untuk menarik semula kebenaran berniaga atau menjaja makanan di gerai-gerai di tepi jalan berkuat kuasa esok susulan kes Covid-19 yang masih tinggi di negeri ini.

Perkara itu dimaklumkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan tersebut, Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) terpaksa mengambil pendekatan itu bagi mengelak orang ramai berkumpul kerana aktiviti itu menjadi penyebab utama penularan Covid-19.

”Antara aktiviti yang dikenal pasti menarik orang ramai berkumpul adalah gerai atau penjaja tepi jalan dan penjaja beredar yang dilihat tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Oleh kerana itu pihak berkuasa tempatan (PBT) diarah mengambil langkah menguatkuasakan penutupan gerai, penjaja tepi jalan dan penjaja beredar.

“Para peniaga dan masyarakat diminta mematuhi arahan ini bagi mengelak dikenakan tindakan di bawah peraturan yang berkuat kuasa dari semasa ke semasa,” katanya.

Menurut kenyataan itu, peningkatan kes Covid-19 menyebabkan kemudahan kesihatan semakin kritikal apabila katil di hospital-hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid -19 (PKRC) hampir penuh termasuk ada yang melebihi 100 peratus.

“Hampir setiap hari wujud kluster baharu sama ada dalam komuniti atau tempat kerja sehinggakan tiga kampung di Pasir Mas iaitu Kampung Paya Ular, Kampung Tualang dan Kampung Bechah Palas dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Kadar kematian akibat Covid-19 di Kelantan juga meningkat apabila bilangan terkumpul melebihi 50 orang dengan purata kematian empat orang sehari,” katanya.

Tambah kenyataan itu, individu yang menjalani kuarantin di rumah kini melebihi 2,000 orang manakala individu di bawah pengawasan mencecah 4,000 orang dengan jumlah kes keseluruhan di Kelantan melebihi 16,000.

“Jumlah itu dikhuatiri semakin bertambah dari sehari ke sehari sekiranya langkah-langkah lebih drastik tidak diberi perhatian utama memandangkan kadar kebolehjangkitan di Kelantan masih lagi tinggi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya