Gelanggang futsal baharu dibina roboh - Utusan Malaysia

Gelanggang futsal baharu dibina roboh

RAZALI (kiri) menunjukkan keadaan gelanggang futsal yang diikat dengan tali keselamatan bagi mengelak orang ramai memasuki kawasan tersebut selepas struktur bangunannya terkeluar dan bumbungnya roboh pada 5 Mei lalu. UTUSAN/NORHAYATI YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Masih belum digunakan, tetapi struktur binaan gelanggang futsal yang dibina bersebelahan Dewan Meru telah roboh menyembah bumi.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati empat struktur tiang gelanggang futsal tersebut rosak dengan dua daripadanya terkeluar daripada tanah.

Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Meru, Razali Suwandi berkata, kejadian itu berlaku pada 5 Mei lalu dan disedari oleh orang ramai selepas hujan reda.

Menurutnya, ketika kejadian, bunyi bumbung yang runtuh kuat dan kawasan gelanggang itu kini tidak boleh dimasuki kerana telah diletakkan pita kawasan larangan.

“Angin kuat dengan hujan lebat dan ia bukan sahaja meruntuhkan gelanggang futsal ini tetapi kita menerima laporan beberapa bumbung sekolah dan rumah turut diterbangkan angin.

“Bagaimanapun, yang menjadi persoalan ialah bagaimana bangunan gelanggang yang baru siap dibina dan diserahkan kepada pihak Majlis Perbandaran Klang (MPK) kira-kira sebulan lalu boleh runtuh walaupun masih belum digunakan lagi,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Difahamkan, sehingga hari ini gelanggang futsal tersebut masih belum dibaiki dan menunggu urusan insurans sebelum menjalani proses baik pulih.

Dalam pada itu, seorang pengguna Facebook, Jeffri Md Ramli yang berkongsi kejadian menyatakan kesedihan apabila gelanggang futsal itu belum sempat digunakan oleh penduduk di Meru sendiri.

“Meru dilanda ribut lagi. Kali ini telah meranapkan mini stadium Futsal Tertutup bersebelahan Dewan Meru.

“Paling menyedihkan mini stadium futsal yang baru siap dibina telah menyembah bumi, belum sempat digunakan oleh masyarakat Meru. Kegagalan struktur punca kerangka runtuh barangkali bila kita lihat bulatan merah kelihatan tiang tumbang,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Mohd. Fakhrulrazi Mohd. Mokhtar ketika dihubungi berkata, pihaknya meminta agar pihak berwajib memeriksa semula pembinaan struktur bangunan yang dibina kerana boleh roboh dengan mudah.

“Sekiranya memang semata mata faktor alam, semoga pembaikan gelanggang futsal ini dapat disegerakan tetapi jika ada kecuaian atau apa yang berkaitan dengan kualiti binaan dan sebagainya, siasatan harus dibuat dengan teliti,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengarah Komunikasi Korporat MPK, Norfiza Mahfiz ketika dihubungi menjelaskan, pihaknya memberi jaminan bahawa satu siasatan akan dijalankan secara terperinci oleh pihak MPK.

“Satu siasatan akan dijalankan secara terperinci dan kerja-kerja pembaikan akan dijalankan kelak,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya