KEMAMAN: Seorang kakitangan sebuah klinik di daerah ini ditahan bagi membantu siasatan kes gangguan seksual terhadap seorang doktor gigi, dalam kejadian Disember tahun lalu.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, lelaki berusia 32 tahun itu ditahan di kediaman keluarganya di Kampung Tanjung Putat, Kuala Berang di Hulu Terengganu pada pukul 2 pagi tadi.
Katanya, kejadian kira-kira pukul 5.10 petang, 7 Disember itu, dipercayai berlaku ketika mangsa yang berusia 31 tahun dalam tugasan.
“Mangsa yang sudah berkahwin dipaksa rakan setugasnya itu melakukan seks oral dan ketika kejadian difahamkan tiada orang lain di klinik berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini.
Hanyan berkata, ujian air kencing mendapati suspek yang merupakan seorang duda positif methamphetamine.
Katanya, suspek ditahan reman selama empat hari hingga Selasa dan kes disiasat mengikut Seksyen 509, Seksyen 292 dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan.