JERANTUT: Penduduk Kampung Gol, Mukim Tembeling Tengah dekat sini berasa tidak ‘selesa’ menyambut Hari Raya Aidilfitri apabila kerap diganggu dua ekor gajah liar yang menceroboh tanaman dan mendekati kediaman penduduk kampung tersebut semalam.
Penduduk bimbang dengan keselamatan diri mereka apabila gajah liar itu kerap berkeliaran pada waktu malam sejak pertengahan Ramadan lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Kampung Gol, Abu Jamil Awang Mahmud berkata, seekor daripadanya adalah gajah jantan yang dikenali menerusi tanda ‘tag’ oleh Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
“Seekor lagi tidak diketahui status jantina kerana kami hanya berpandukan kesan tapak kaki haiwan itu berkeliaran di kawasan tanaman pada waktu malam.
“Dalam kejadian pada pukul 11 malam dua hari sebelum raya, haiwan ini telah menceroboh kawasan kebun getah seluas 1.2 hektar milik seorang penduduk dan merosakkan 10 batang pokok.
“Ancaman haiwan liar ini bermula pertengahan Ramadan lalu apabila waktu siang bersembunyi di hutan berdekatan dan masuk ke kawasan kampung pada waktu malam merosakkan tanaman kelapa, pisang dan sayur-sayuran yang diusahakan penduduk,” katanya di Kampung Gol dekat sini hari ini.
Menurut Abu Jamil, senario itu membimbangkan penduduk ketika keluar mencari buluh lemang, daun palas malah ketika berbelanja di bandar Jerantut tetapi belum ada lagi kejadian mengancam keselamatan mereka.
“Sehingga ini, kita telah memaklumkan kepada Perhilitan supaya dapat menangkap gajah liar berkenaan sebelum berlaku kejadian yang tidak diingini terhadap penduduk di sini.
“Kita berterima kasih kepada Perhilitan kerana telah menugaskan seramai 10 orang renjer untuk menangkap haiwan ini dua hari sebelum hari raya dan kerja pemantauan dan penangkapan haiwan tersebut disambung selepas hari raya ini,” katanya.
Sementara itu, seorang pekebun, Jama Ahmad berkata, hampir 10 batang pokok getah muda yang belum ditoreh mengalami kerosakan akibat pencerobohan gajah liar itu.
“Saya menjangka lebih banyak tanaman getah ini akan rosak termasuk pisang dan sayur-sayuran komersial penduduk di sini sekiranya haiwan liar ini tidak ditangkap,” katanya.
Sementara itu, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Datuk Nazri Ngah berkata, kerajaan negeri sudah menerima laporan tentang acaman gajah liar berkenaan sejak seminggu sebelum hari raya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar berkata, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sudah maklum dan meminta Perhilitan menangkap serta memindahkan gajah liar itu.
“Saya menasihatkan penduduk supaya berwaspada dengan ancaman haiwan ini ketika masuk bekerja di kawasan kebun dan tanaman sayur serta mengurangkan pergerakan di tempat tertentu sebelum gajah ini ditangkap oleh pihak renjer,” jelasnya.