JOHOR BAHRU: Gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu Johor mengemukakan sembilan cadangan kepada kerajaan bagi memastikan kelangsungan hidup masyarakat ekoran pelaksanaan sekatan pergerakan penuh yang akan bermula esok.
Koordinatornya, Ahmad Yazid Othman berkata, cadangan itu membabitkan beberapa bantuan yang boleh dilakukan kerajaan kerana majoriti masyarakat negara ini masih belum pulih sepenuhnya daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terdahulu.
Menurut beliau, Bank Negara Malaysia (Bank Negara) sebelum ini pernah memaklumkan bahawa kira-kira 75 peratus daripada rakyat negara ini tidak mempunyai walaupun RM1,000 untuk kecemasan.
“Sembilan cadangan itu termasuklah Bantuan Sara Hidup (BSH) sebanyak RM1,200 kepada keluarga pendapatan bawah RM5,000; Subsidi Upah untuk perniagaan kecil dan sederhana; moratorium pinjaman automatik dan penangguhan bayaran sewa premis.
“Selain itu cadangan lain adalah pengecualian bayaran utiliti; waktu bekerja anjal; meringankan syarat kewangan bank; kumpulkan dana syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan penyediaan dana pemulihan bagi pengusaha kecil dan sederhana,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan bersama melibatkan beberapa NGO antara Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Johor, Pertubuhan Pembela Islam, Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu Berhad dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
Tambah Ahmad Yazid, cadangan yang dikemukakan itu merupakan hasil perbincangan pihaknya dalam memastikan tiada individu terjejas sehingga muflis akibat Sekatan Pergerakan Penuh yang diadakan bermula esok hingga 14 Jun ini, khususnya golongan peniaga.
“Secara amnya rakyat belum pulih dari kesan PKP sebelum ini, jadi sudah tentu PKP kali ini akan lebih mencabar buat kebanyakan pihak dan dijangka lebih ramai pekerja terpaksa diberhentikan majikan.
“Kami jangka PKP kali ini akan berlanjutan lebih panjang dari PKP dahulu apatah lagi dengan angka kes pernah melangkau 9,000 baru-baru ini dengan lekuk jangkitan Covid-19 dijangka hanya boleh dilandaikan dalam tempoh empat bulan,” ujarnya.
Sehubungan itu beliau memberitahu, pihaknya akan menubuhkan sebuah task force untuk memantau pelaksanaan bantuan kerajaan bagi memberi maklum balas sebenar kesan pandemik ini khususnya di peringkat akar umbi. – UTUSAN ONLINE