PETALING JAYA: Pemimpin Parti DAP, Teng Chang Khim dikecam kerana dianggap biadap kerana mengkritik tindakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memberikan sokongan kepada Palestin yang sedang diceroboh tentera Zionis.
Dalam satu kenyataan media, Timbalan Pemuda Perikatan Nasional (PN) Selangor, Asyraf Halim berkata, Chang Khim sepatutnya lebih berhati-hati dan memberi fokus menyelesaikan isu Covid-19 di Selangor.
“Tindakan Chang Khim ini sangat tidak bermoral dan merupakan contoh yang tidak baik daripada seorang pemimpin negeri kepada golongan belia dan rakyat negeri Selangor.
“Chang Khim sepatutnya bekerja untuk membantu rakyat Selangor kerana Covid-19 sedang menyerang negeri Selangor kerana mencatatkan kes penularan yang begitu tinggi,” katanya dalam kenyataan itu.
Asyraf mempertikai kenyataan Chang Khim itu serta mempersoal sama ada tindakan Chang Khim itu adalah kerana terdapat perjanjian dengan Israel untuk melabur di negara ini.
Terdahulu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Senator Datuk Razali Idris berkata, kritikan Teng Chang Khim yang juga Exco kerajaan Selangor tidak melambangkan keperibadian beliau sebagai seorang Exco, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan rakyat Malaysia yang cintakan keamanan, kemakmuran dan kedamaian sejagat.
Tambah Asyraf, isu rampas haram kerajaan Zionis ke atas tanah milik rakyat Palestin dan pembunuhan sewenangnya oleh puak Zionis bukanlah isu yang dibuat.
“Semua sedia maklum Israel Zionis telah pun melanggar lebih 20 resolusi ditetapkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Ini merupakan isu global seperti juga Covid 19.
“Sebagai seorang pemimpin beliau perlulah menunjukkan contoh dan peka terhadap isu global yang sudah berpuluh tahun belum selesai,” katanya. -UTUSAN ONLINE