BATU PAHAT: Empat buah deretan kedai di pekan Parit Raja, Ayer Hitam di sini musnah dalam insiden kebakaran, malam tadi.
Dalam kejadian pada pukul 9.43 malam, empat buah kedai jenis separuh kekal itu terbakar 100 peratus manakala sebuah lagi kedai berjaya diselamatkan.
Komander operasi yang juga Ketua Zon 3, Penguasa Kanan Bomba I, Ahmad Murad Saat berkata, kedai yang terlibat adalah kedai alat telekomunikasi, kedai makan, kedai kasut dan medan selera.
“Kebakaran membabitkan kedai berstruktur separuh kekal lima pintu. Empat daripadanya musnah dan sebuah lagi kedai dapat diselamatkan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Ahmad Murad, dua buah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penggaram serta BBP Batu Pahat dengan kekuatan 25 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Operasi pemadaman menggunakan kaedah lima aliran 100 kaki, empat saluran arah dan lapan pancutan air daripada pam jentera serta pili bomba berhampiran.
“Kejadian tidak melibatkan kecederaan mangsa. Punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan,” katanya yang memaklumkan operasi tamat pada pukul 1.30 pagi.