Emosi Aidilfitri bagai diragut - Utusan Malaysia

Emosi Aidilfitri bagai diragut

BAKRIAH Mohd. Abu Bakar,53, menunjukkan struktur rumah yang sudah usang dan reput akibat dimakan anai-anai di Jalan Sekolah Derma, Kangar, Perlis hari ini.- UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Tidak sampai dua minggu lagi, umat Islam bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri yang sudah pasti diraikan dalam suasana penuh meriah mengikut kemampuan khususnya di kediaman masing-masing.

Namun suasana menyambut lebaran itu berbeza bagi empat sekeluarga di Jalan Sekolah Derma di sini yang buntu apabila melihat struktur kediaman mereka yang usang dan reput akibat dimakan anai-anai.

Ibarat ‘bom jangka’ rumah kayu berusia 50 tahun itu bila-bila masa sahaja boleh rebah menyembah bumi sekali gus bakal meragut ketenangan keluarga berkenaan dalam menyambut Aidilfitri.

Bakriah Mohd Abu Bakar, 53, berkata, rumah tersebut mengalami kerosakan teruk selepas menjadi ‘mangsa’ anai-anai terutamanya di bahagian lantai, tiang dan bumbung.

Dia bersama suami yang bekerja sebagai pencuci tandas awam dan mempunyai dua orang anak berusia 19 serta 10 tahun itu tinggal di kediaman berkenaan sejak 2012 atas ihsan pemilik rumah terbabit.

“Masa kami mula-mula tinggal di sini dulu kerosakan akibat anai-anai ini tidak begitu ketara. Oleh kerana pada 2010 rumah ini terjejas akibat banjir menyebabkan anai-anai
mula meresap ke dalam dalam rumah.

“Semakin hari, keadaan semakin teruk sehingga menyebabkan tiang dan bahagian lantai khususnya mengalami kerosakan teruk. Saya bimbang, kami boleh terjatuh pada bila-bila masa apabila lantai sudah reput,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Bakriah berkata, bagi memastikan rumah tidak rebah menyembah bumi, dia dan suami meletakkan lebihan kayu di bahagian lantai supaya ia kekal kukuh.

“Menjelang hari raya, rumah masih lagi begini, kami pun tidak sempat untuk tambah kayu-kayu di bahagian bawah rumah ini. Untuk persiapan hari raya ini, saya sekadar buat persiapan ala kadar sahaja,” katanya.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, Gan Ay Ling meluangkan masa melawat keluarga terbabit dan menyampaikan sumbangan.

Ay Ling berkata, sumbangan tersebut diharap dapat memberi sedikit kecerian kepada keluarga itu dalam menyambut Aidilfitri.

“Saya akan berusaha untuk mendapatkan bantuan bagi membolehkan rumah ini segera dibaiki kerana strukturnya sudah usang ditambah pula akibat dimakan anai-anai yang pasti membahayakan mereka,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN