Ejen hartanah didakwa tipu beli 281 utas jam tangan RM3 juta - Utusan Malaysia

Ejen hartanah didakwa tipu beli 281 utas jam tangan RM3 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang ejen hartanah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menipu seorang pengurus sebuah kedai jam tangan ketika membeli 281 utas jam tangan pelbagai jenama bernilai RM3 juta, dua tahun lalu.

Tjoeng Chan Chin, 43, meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Ahmad Kamar Jamaludin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menipu seorang lelaki dengan memperdayakannya untuk mempercayai bahawa dia telah membuat pembayaran bagi pembelian 281 utas jam tangan melalui satu keping cek bank bernilai RM3 juta, sedangkan tertuduh mengetahui bahawa akaun bank atas nama sebuah syarikat itu telah ditutup.

Perbuatan itu dengan curangnya telah mendorong mangsa untuk menyerahkan jam tangan tersebut kepada tertuduh di mana mangsa tidak akan berbuat sedemikian, sekiranya tidak diperdayakan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kedai jam tangan di sebuah pusat beli-belah di Lingkaran Syed Putra, Brickfields di sini pada 25 Oktober 2019.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebatan dan juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Khairiyah Samsudin menawarkan jaminan sebanyak RM500,000 dengan seorang penjamin memandangkan tertuduh mempunyai beberapa kes lain di Johor, Petaling Jaya dan Puchong, Selangor, atas kesalahan menipu.

Bagaimanapun peguam K. Jaikumaran yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah kerana anak guamnya merupakan penanggung utama keluarga.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Ahmad Kamar membenarkan tertuduh diikat jamin RM150,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 5 Julai ini untuk sebutan kes.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN