JERANTUT: Ujian Allah SWT tidak kira masa dan sebagai hamba-Nya kita cuma menempuh dengan sabar dan istiqamah selain berusaha menyembuhkan penyakit berkanaan.
Begitulah nasib seorang suri rumah di Felda Kota Gelanggi Dua, Rahimah A. Razak, 48, yang menyambut bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri dengan penderitaan penyakit buah pinggang tahap empat sejak Januari lalu.
Kini, rutin harian Rahimah hanya berbaring kerana kakinya bengkak, penglihatan kabur selain rasa menyucuk di bahagian pinggang.
Lebih perit apabila Rahimah juga ada kencing manis, jantung dan paru-paru berair. Kesusahan pasangan tersebut menyebabkan mereka terpaksa menumpang di rumah keluarga.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, suaminya, Mohd. Amin Yahaya, 62, berkata, dia terpaksa menjaga kebajikan Rahimah kerana wanita itu tidak mampu bergerak.
“Keadaan Rahimah semakin teruk selepas mendapat rawatan di Hospital Jengka awal bulan Januari lalu sehingga badannya tidak bermaya apatah lagi dia juga disahkan mengalami penyakit paru-paru berair,” katanya di Felda Kota Gelanggi Dua dekat sini.
Menurut Mohd. Amin, isterinya kini banyak berbaring dengan makan dan minum serta pengurusan diri diambil alih ahli keluarga lain.
“Doktor memaklumkan isteri saya akan menjalani dialisis tidak lama lagi dan kini berulang-alik ke hospital untuk pemeriksaan lanjut termasuk penyakit paru-paru berair,” katanya yang tiada anak.
Sebelum sakit, Rahimah berniaga nasi lemak dan pendapatan secara kecilan itu boleh menampung pendapatan mereka.
“Kini setelah terlantar saya-lah bekerja sebagai buruh dan menjual ikan sungai yang cuma mampu memperoleh pendapatan RM400 hingga RM500 sebulan,” katanya.
Warga emas itu berkata, dia tidak mampu membiayai perbelanjaan bulanan seperti barang keperluan dapur, peralatan keperluan diri isteri, berulang-alik ke hospital yang mencecah hampir RM1,500 sebulan.
“Keadaan hidup kami agak susah kerana masih menumpang rumah ibu bapa bersama adik beradik lain yang mempunyai tanggungan ramai tinggal dalam di bawah satu bumbung.
“Saya berharap bantuan pihak tertentu memandangkan keadaan penyakit isteri semakin serius dan kemungkinan per-belanjaan bertambah apabila menjalani dialisis dan rawatan paru-paru,” ujarnya.
Orang ramai yang ingin beramal jariah bolehlah menghubungi Rahimah di talian 013-9672731 atau terus ke akaun Bank Islam bernombor 06055020337470 (Rahimah). – UTUSAN ONLINE