Dua tahun anak tidur dalam kelas petanda leukemia - Utusan Malaysia

Dua tahun anak tidur dalam kelas petanda leukemia

NURUL Shakila Hisham (duduk, kanan) memangku Qaish Qusyairie ketika menerima kunjungan Nor Adibah Safar (duduk, kiri) sempena Program Konvoi Sentuhan Kasih Ramadan Puteri 10Gara Prihatin di Kampung Bukit Lintang, Kota Tinggi, Johor. - UTUSAN/MASTURAH SURADI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Seorang ibu di Kampung Bukit Lintang di sini, tidak menyangka kekerapan anaknya yang sering tidur di kelas sejak dua tahun lalu merupakan petanda kanak-kanak itu menghidap leukemia.

Nurul Shakila Hisham, 33, berkata, anak lelakinya, Qaish Qusyairie, 8, merupakan seorang kanak-kanak yang dilahirkan secara normal dan sihat sehingga usianya mencecah enam tahun.

“Sejak berada di pra sekolah dan darjah satu saya dapati anak terlalu kerap tidur di dalam kelas daripada apa yang diberitahu gurunya dan ia berlarutan selama dua tahun.

“Pada awalnya saya agak pelik juga kemudian ketika usia tujuh tahun dia mula kerap demam pula tetapi apabila dibawa ke hospital doktor tidak dapat mengesan apa-apa.

“Sehinggalah satu hari dia demam selama seminggu ketika dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru dan doktor membuat ujian darah sebelum mengesahkan dia menghidap leukemia,” katanya ketika ditemui sempena Program Konvoi Sentuhan Kasih Ramadan Puteri 10Gara Prihatin di sini, hari ini.

Ibu kepada dua orang anak itu berkata, selepas 16 kali pembedahan untuk mengambil air tulang belakang, kini Qaish perlu menjalani rawatan rutin kemoterapi sebanyak dua kali sebulan.

“Sekarang Qaish tidak boleh pergi ke sekolah kerana antibodinya lemah dan doktor menyarankan dia tidak ke sekolah untuk tempoh dua tahun, pernah kerana terlalu rindu hendak ke sekolah saya minta izin guru besar agar Qaish boleh masuk kelas untuk satu jam sahaja namun selepas itu dia terpaksa ditahan di wad.

“Sejak itu saya sudah tidak menghantar dia ke sekolah lagi,” katanya yang turut berterima kasih di atas ziarah dan sumbangan diberikan Puteri UMNO Bahagian Tenggara itu.

Sementara itu, Ketua Puteri UMNO Bahagian Tenggara, Nor Adibah Safar berkata, konvoi menjelajah ke 17 cawangan sayap parti itu menjadi program tradisi yang dianjurkan sejak tujuh tahun lalu setiap kali tiba Ramadan.

Katanya melalui konvoi itu beliau bersama ahli jawatankuasa puteri dan ketua puteri cawangan akan hadir untuk menziarahi mereka memerlukan termasuklah Nurul Shakila yang memiliki anak menghidap leukemia.
“Konvoi wajib ini telah dijalankan sejak 2013, melalui ziarah ini kita menghantar sedikit bantuan makanan kepada ahli puteri cawangan dalam Parlimen Tenggara untuk membantu mereka dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

“Pergerakan puteri menjadi wakil menyampaikan bantuan ini yang disumbangkan Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen Tenggara yang juga Ketua Umno Bahagian Tenggara, Datuk Seri Dr. Adham Baba yang mengharapkan sumbangan ini dapat meringankan beban dan menceriakan penerima,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN