Dua sahabat sedekah 200kg baju bundle - Utusan Malaysia

Dua sahabat sedekah 200kg baju bundle

Orang ramai berebut mrmilih pakaian bundle percima yang disediakan dua sahabat ini,
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Dua sahabat mengambil pendekatan membantu meringankan beban individu terjejas ekoran pandemik Covid-19 dengan menyumbangkan 200 kilogram baju ‘bundle’ kepada pengunjung Karnival Bazar Aidilfitri di Bayan Baru di sini.

Aktiviti amal Ahmad Fadzil Mohamad, 48, dan Fadzil Nusi, 34, itu ternyata mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai peringkat usia terutama mereka yang berkeluarga.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati ada pengunjung bazar yang mengambil lebih lima helai pakaian dewasa dan kanak-kanak sebagai persalinan untuk digayakan pada Aidilfitri nanti.

Menggunakan tagline ‘ambil baju percuma, doa kami masuk syurga’, Ahmad Fadzil yang juga peniaga burger berkata, mereka mengambil pendekatan tersebut bagi membantu orang ramai yang terkesan dengan wabak tersebut sehingga menjejaskan sumber pendapatan.

“Kami juga antara individu yang terkesan dengan pandemik Covid-19 tetapi kami lebih simpati dengan mereka yang kehilangan sumber pendapatan utama termasuk terpaksa bergadai demi kelangsungan hidup.

“Dengan cara ini, kami berharap mereka yang memerlukan dapat memanfaatkan sumbangan pakaian bundle yang diberikan secara percuma sekali gus meraikan Aidilfitri dengan suasana lebih ceria meskipun dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya di sini semalam.

Ahmad Fadzil memberitahu, pakaian bundle yang diperolehnya daripada pengusaha gudang bundle di Kulim, Kedah itu kini hanya berbaki kurang 50 kilogram.

Sementara itu seorang pengunjung, Shahrul Azhar Ali, 45, berkata, dia sanggup datang dari Tanjung Tokong sejauh kira-kira 17 kilometer semata-mata mahu mendapatkan pakaian bundle percuma untuk digayakan pada Aidilfitri ini.

“Kurang bebanan saya apabila memperoleh 10 helai baju t-shirt buat dua anak lelaki termasuk untuk saya sendiri. Tak perlu nak keluarkan wang yang banyak untuk membeli pakaian raya baharu untuk anak-anak.

“Mereka juga tidak kisah memakai pakaian sebegini. Walaupun bundle tetapi kainnya tetap ada kualiti dan tahan lama,” katanya yang mendapat tahu tentang aktiviti sumbangan pakaian percuma itu daripada rakannya menerusi WhatsApp. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN