Dua nelayan guna bubu naga dicekup - Utusan Malaysia

Dua nelayan guna bubu naga dicekup

DUA nelayan yang menggunakan bubu naga untuk menangkap ikan ditahan oleh Maritim Malaysia Zon Kuala Kedah di perairan Pantai Dulang, Yan, Kedah hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Dua nelayan bertindak mencampak bubu naga ke laut sebelum melarikan diri untuk mengelakkan ditahan selepas menyedari kehadiran Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah di 0.4 batu nautika perairan Pantai Dulang, Yan dekat sini, hari ini.

Bagaimanapun, dua nelayan berusia 18 tahun yang menggunakan peralatan menangkap ikan yang tidak dibenarkan itu berjaya ditahan dalam Op Aman pada pukul 11.40 pagi.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, dua nelayan berusia 18 tahun yang menaiki bot fiber tanpa nombor pendaftaran berjaya dipintas dan ditahan bot ronda Maritim Malaysia selepas kejar buru hampir 10 minit.

“Pemeriksaan lanjut ke atas bot berkenaan menemukan 20 set bubu naga serta sejumlah hasil tangkapan laut segar yang dianggarkan lebih kurang 10 kilogram bernilai RM180,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambah beliau, hasil tangkapan, bubu naga, peralatan dan bot beserta sebuah enjin yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM28,580 dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk disiasat.

“Untuk rekod, bubu kambang atau bubu naga diharamkan penggunaannya berikutan sifatnya yang tidak selektif dengan memerangkap serta mengancam hidupan laut yang lebih kecil dan benih udang selain akan merosakkan ekosistem dasar laut negara.

“Kaedah ini boleh mengancam sumber perikanan negara pada masa akan datang,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) dan 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana melakukan aktiviti menangkap ikan tanpa lesen yang sah dan menggunakan peralatan yang tidak dibenarkan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya