Dua maut di tali air - Utusan Malaysia

Dua maut di tali air

MAYAT Badrul Azhan Nizam yang dilaporkan hilang semalam ditemi maut di lokasi berhampiran mangsa pertama ditemui di Lorong Haji Masri, Kampung Gelam, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Keseronokan sepasang kembar dan seorang rakan mereka bermain di tali air berakhir tragedi apabila dua daripadanya maut di Lorong Haji Masri, Kampung Gelam di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang, mangsa, Muhammad Fakrullah Rozami, 9, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala kembarnya, Muhammad Fakhruddin Rozami bagaimanapun terselamat.

Rakan mereka, Badrul Azhan Nizam Bachik, 9, yang dilaporkan hilang selepas insiden berkenaan berlaku turut maut dan ditemukan lemas oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada pukul 9.35 pagi tadi.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai, Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Penguasa Bomba Zulkhairani Ramli berkata, panggilan kecemasan mengenai kanak-kanak hilang diterima pada pukul 8.46 malam dan seramai 20 anggota dikejarkan ke lokasi.

“Operasi SAR telah dilakukan di dalam kawasan tali air pada radius 100 meter dari lokasi kejadian dan pencarian di darat melibatkan jarak kira-kira 1.6 kilometer ke kawasan perumahan.

“Mayat kanak-kanak yang dilaporkan hilang itu ditemukan pada pukul 9.35 pagi tadi di lokasi berhampiran mangsa pertama ditemukan. Pasukan SAR melakukan semula pencarian di air dan menemukan kepala mangsa kedua terapung,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Mengulas lanjut, beliau menambah, pihaknya dimaklumkan ketika kejadian mangsa bermain di kawasan tali air itu bersama rakannya yang juga merupakan pasangan kembar.

“Semasa bermain, Fakrullah dikatakan telah lemas menyebabkan kembarnya dan Badrul bertindak meminta bantuan daripada seorang pekebun warga emas yang turut berada di kawasan berhampiran.

“Pekebun tersebut kemudian memaklumkan perkara tersebut kepada ahli keluarga mangsa dan bapanya telah ke lokasi sebelum menjumpai anaknya di dalam tali air tersebut dalam keadaan tidak sedarkan diri,” jelasnya.

Tambahnya, pihaknya turut difahamkan bahawa Muhammad Fakrullah ditemukan dalam keadaan kakinya terikat pada plastik di dalam tali air tersebut, yang terletak berhampiran dengan kebun ayahnya.

Ujarnya, pasangan kembar yang terselamat telah dibawa pulang oleh keluarga, namun, Badrul masih tidak dapat dikesan selepas kejadian. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya