PASIR PUTEH: Dua bot bersama 12 nelayan Vietnam yang memukat ikan secara haram ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan di lokasi 120 dan 124 kilometer dari kuala Tok Bali, di sini, Jumaat lalu.
Kedua-dua bot nelayan asing yang menceroboh perairan dan merompak hasil laut negara itu dikesan Kapal Maritim (KM) Amanah ketika penugasan Op Kuda Laut di sekitar perairan negeri ini, kira-kira pukul 5 petang.
Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Maritim Muhd. Nur Syam Asmawie berkata, dua bot berkenaan memotong tali pukat ganding digunakan dan berpecah untuk meloloskan diri ke arah sempadan laut selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.
Menurutnya, bot pertama bersama 10 awak-awak dan tekong berjaya ditahan pada pukul 5.40 petang manakala bot kedua berjaya ditahan pada pukul 6.05 petang bersama tekong dan seorang awak-awak.
“Kesemua suspek berusia 22 hingga 53 tahun bersama dua bot terbabit ditunda masuk ke jeti Maritim Malaysia Kelantan pada pukul 4 petang semalam.
“Turut dirampas ialah pelbagai jenis ikan termasuk ikan baja seberat 1.3 tan dan bekalan minyak diesel dianggarkan sebanyak 7,300 liter,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambah Muhd. Nur Syam Asmawie, alat perhubungan radio, peranti ‘global positioning system’ (GPS) dan sejumlah pukat dan tali turut disita dengan nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dianggarkan RM1.2 juta.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua bot tidak memiliki permit untuk menangkap ikan di bawah Akta Perikanan 1985 dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan tanpa kebenaran. -UTUSAN ONLINE