DPMM Johor harap PKP lebih efisien - Utusan Malaysia

DPMM Johor harap PKP lebih efisien

MUHAMMED Farhan Basheer (kiri) bersama para usahawan menunjukkan makanan dan minuman yang diberi secara percuma kepada orang ramai melibatkan sebanyak 2,021 pek sempena Ramadan di Larkin, Johor. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Johor berharap kerajaan mengambil kira kesan yang terpaksa ditanggung usahawan dan peniaga kecil sekiranya perlu melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan kesan penularan kes jangkitan Covid-19 yang kembali memuncak.

Pemangku Yang Dipertua DPMM Johor, Muhammed Farhan Basheer berkata, pihaknya menyokong pelaksanaan PKP 3.0 bagi mengurangkan penularan kes, namun ia perlu lebih efisien dan mempunyai pelan sokongan yang sistematik.

“Ini bagi memastikan setiap usahawan yang pasti akan terkesan dibantu dengan sebaiknya sekaligus pekerja yang digajikan mereka turut tidak menerima impak berhubung perkara itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas program pengagihan juadah iftar percuma melibatkan 2,021 pek mengandungi roti john dan minuman kepada warga bandaraya Johor Bahru di Larkin, semalam.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, empat negeri bakal menyusuli Kedah dan Kelantan menguatkuasakan PKP bersasar berikutan pengesanan aliran peningkatan mendadak kes Covid-19 selain mencegah varian baharu dengan mutasi berganda dari India B.1617.

Negeri-negeri dalam senarai menunggu pelaksanaan PKP pada bila-bila masa ialah Selangor, Sarawak, Pulau Pinang dan Johor.

Sementara itu, kira-kira 5,000 usahawan pelbagai sektor dibantu DPMM Johor sejak pandemik Covid-19 melanda negara ini dan Johor melalui pelbagai inisiatif dilaksanakan termasuk menyalurkan khidmat nasihat kepada usahawan di negeri ini.

Muhammed Farhan berkata, bantuan yang disalurkan termasuk memberi maklumat kepada agensi berkaitan keusahawanan di peringkat negeri dan Persekutuan bagi memastikan tiada usahawan tercicir dalam program bantuan dilaksanakan.

“Sejak awal PKP dilaksanakan pada Mac tahun lalu, DPMM Johor telah menubuhkan satu pasukan khusus bagi membantu usahawan yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Ini termasuk menyalurkan maklumat bantuan yang disediakan oleh pelbagai agensi kerajaan kepada ahli DPMM yang kebanyakannya terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya.

Selain khidmat nasihat, beliau berkata, DPMM Johor turut membantu pekerja yang digajikan usahawan yang terkesan ekoran pengecilan operasi termasuk dengan mengagihkan barangan keperluan harian kepada mereka yang terjejas.

Tambahnya, kerjasama erat antara DPMM Johor dan pusat itu turut melengkapkan inisiatif bantuan kepada usahawan melalui unit aduan bisnes yang terkesan akibat Covid-19.

Menurut Muhammed Farhan, pihak DPMM pusat turut mewujudkan talian khas bagi membantu usahawan dalam aspek perundangan bagi memberi khidmat nasihat tentang pinjaman, penyewaan premis dan penyempurnaan kontrak perniagaan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN