TASEK GELUGOR: Keunikan Dodol Tok Nah yang dihasilkan dengan menggunakan kaedah tradisional menjadikan juadah popular ketika musim perayaan itu terus diminati sehingga kini.
Pengusahanya, Zamri Sulaiman, 48, berkata, dia mewarisi teknik membuat dodol itu daripada arwah bapanya sejak 23 tahun lalu.
Jelasnya, walaupun proses menghasilkan dodol tersebut agak memenatkan dan rumit kerana menggunakan dapur kayu hampir 100 peratus, namun kepuasan pelanggan menjadi keutamaannya.
“Terpulang kepada cara masing-masing (untuk menghasilkan dodol) tetapi saya memilih mengekalkan cara lama kerana inilah yang menjadikan dodol ini unik.
“Lagipun, arwah bapa pernah berpesan supaya dodol ini dihasilkan seperti kita sendiri yang hendak makan dan kata-kata itu saya pegang hingga sekarang,” katanya yang mengusahakan perniagaan makanan berkenaan di Kampung Jarak, di sini.
Menurut Zamri, untuk musim perayaan kali ini, dia menerima tempahan sehingga 300 kawah berbanding hanya 200 kawah tahun lepas dengan setiap kawah dianggarkan mampu menghasilkan sehingga 30 kilogram dodol.
Katanya, permintaan yang tinggi terhadap Dodol Tok Nah kali ini juga menyebabkan dia tidak ‘menang tangan’ dan terpaksa mendapatkan bantuan ahli keluarganya yang lain untuk mengacau dodol tersebut.
Pada masa sama, dia turut menggajikan sehingga 40 penduduk kampung untuk kerja-kerja mengacau dodol berkenaan yang mengambil mengambil masa sehingga tiga jam untuk siap.
Selain dodol berperisa asli, Zamri turut menghasilkan dodol perisa durian buat masa ini dan sedang merancang mempelbagaikan dodol itu kepada beberapa perisa lain termasuk ‘cappucino’, tongkat Ali dan kurma pada masa depan.
Ketika ini, Dodol Tok Nah boleh didapati pada harga serendah RM17 untuk pek bersaiz 500 gram. -UTUSAN ONLINE